Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Status baharu Sarawak perlu ordinan bukan retorik
  • TEMPATAN

Status baharu Sarawak perlu ordinan bukan retorik

Utusan Sarawak 4 years ago
Dr Awang Azman Awang Pawi

Baru-baru ini, kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dikatakan sedang melaksanakan pertukaran nama cawangan bagi semua agensi di bawahnya di Sabah dan Sarawak. Langkah ini dikatakan dilakukan susulan keputusan dan arahan diperoleh pada Mesyuarat Kabinet selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan panggilan untuk Sabah dan Sarawak yang sebelumnya disebut sebagai ‘negeri’ ditukar kepada ‘wilayah’ serta-merta. Berdasarkan situasi ini, tindakan dilakukan hasil daripada keputusan dan arahan Menyuarat Kabinet, semalam.

Dikatakan  juga  istilah baharu wilayah untuk Sabah dan Sarawak akan digunakan dalam laporan berita, termasuk di stesen televisyen kerajaan dan semua pihak berkaitan. Tindakan ini dibuat untuk mengukuhkan  dan membezakan Sabah dan Sarawak daripada panggilan ‘negeri’ yang digunakan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

PM ke Sarawak

Sebelum ini, dalam lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak, beliau  memberi jaminan hak Sarawak akan terus dilindungi berlandaskan Perlembagaan, manakala semua tuntutan hak negeri itu dinilai secara adil dan saksama. Langkah itu penting bagi memastikan setiap bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar dan tidak ada yang ketinggalan.

Perdana Menteri juga menegaskan komitmen itu dizahirkan kerajaan menerusi penubuhan portfolio khusus bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan.  Selain itu, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan hak adil dan saksama bagi rakyat Malaysia di Sarawak dapat dipelihara dan dipertahankan sewajarnya.

Lanjutan daripada ini, kerajaan Persekutuan sedang meneliti beberapa perkara yang berkaitan dengan hak Sarawak dan beberapa kemajuan dicapai menerusi peranan tiga jawatankuasa kerja yang mengesyorkan kepada MKMA63 berhubung cadangan penyelesaian mengenai isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosioekonomi. Langkah ini selaras dengan hak negeri Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara dan kerajaan berharap dapat meningkatkan hubungan antara wilayah ini dengan landasan lebih kukuh berdasarkan saling menghormati dan memahami. Perkara ini perlu diabsahkan melalui ordinan atau undang-undang agar tidak tergelincir daripada kehendak sebenar rakyat Sarawak.

Kontroversi

Bagi kalangan penduduk Sarawak, isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 adalah isu  yang menambat hati mereka, khususnya mereka yang faham akan sejarah pembentukan Malaysia. Isu ini mendapat perhatian daripada golongan yang terpelajar dan terdidik, dan kini menjadi golongan profesional di sektor awam dan swasta yang berkhidmat bukan sahaja di Sarawak, malah berada di Semenanjung Malaysia, khususnya di  sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Di sinilah tempat  pusat pentadbiran, pendidikan, perdagangan dan perniagaan serta tempat berkumpulnya gerakan aktivitis dan  intelektual negara.  Sebab itulah juga Dewan Rakyat dan Dewan Negara terletak di Lembah Kelang.

Segala langkah, pandangan dan sikap kerajaan akan diberikan perhatian dan diberikan  penilaian kritis bagi tujuan wacana ilmu dan  penyebaran idea serta reaksi masyarakat diwakili oleh wakil rakyat dan kalangan cendikiawan  awam negara.

Maka, langkah penukaran nama Sarawak dan Sabah daripada negeri kepada wilayah sebagai keputusan kabinet baru-baru ini mendapat perhatian besar, baik daripada  masyarakat sivil di Sarawak, malah menular di serata tempat di seluruh negara.

Ketidakjelasan

Terdapat pihak mentafsirkan  langkah ini bermaksud menyamakan Sabah dan Sarawak dengan wilayah-wilayah persekutuan seperti Labuan, iaitu kedudukan wilayah ini berada di tingkat yang lebih rendah berbanding negeri-negeri lain yang tidak mempunyai institusi Tuan Yang Terutama atau Gabenor.  Istilah ‘wilayah’ ini dianggap mengelirukan, walaupun niat untuk mengangkat status Sarawak  atau cuba bermaksud Sabah dan Sarawak adalah dua “wilayah” terpisah yang setara dengan Tanah Melayu, menjadikan tiga “wilayah” di Malaysia.

Hal sebenar yang hendak dimaksudkan adalah dengan pertukaran nama negeri ke wilayah tersebut Sabah dan Sarawak berada di tingkat lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung dalam konteks sejarah pembentukan Malaysia yang mempunyai status  setara dengan Semenanjung. Namun, ini mengundang pelbagai reaksi dan perbahasan kalangan netizen Sarawak. Bermakna isu ini bukan sekadar untuk menekankan keperluan istilah yang “lebih tepat dan jelas” malah  untuk menggambarkan kedudukan dan taraf Sabah dan Sarawak  yang sebenar “bagi mengelakkan kekeliruan pada masa hadapan”.

Langkah besar perlu dibuat

Terdapat langkah lain perlu dibuat, langkah ini bukan sekadar melalui keputusan kabinet atau kenyataan Perdana Menteri semata-mata. Sebaliknya memerlukan komitmen yang lebih tinggi, besar, penuh integriti dan bertanggungjawab di peringkat Putrajaya. Hal ini bukan sekadar kata-kata atau tindakan bersifat retorik atau simbol semata-mata. Bukan juga sekadar kata-kata nama atau sedap disebut dalam sembang kedai kopi.

Sebaliknya, komitmen dan kejujuran sebenar perlu ada. Langkah ini tidak lain adalah dengan membawa pertukaran status negeri ke peringkat Parlimen barulah menjadi rasmi dan terikat atau legal binding dengan perlembagaan negara. Maka, perlu bentuk akta baharu pertukaran status tersebut negeri kepada wilayah.

Malah, dari segi nama atau istilah, wilayah juga tidak jelas sedangkan hasrat Sarawak adalah untuk meletakkan status Sarawak dan Sabah berstatus ‘negara’ yang jauh lebih besar konsep dan  sesuai dengan tafsiran sejarah serta perlembagaan negara. Sudah tentu, sama ada konsep wilayah dan negara, atau mana-mana satu daripada istilah digunakan, akan lebih jelas apabila dijelaskan oleh definisi yang terdapat dalam akta ini.

Hal ini bermakna retorik pertukaran nama tidak akan membawa makna apa-apa selagi tidak ada yang konkrit melibatkan ordinan di Parlimen dan Perlembagaan negara. Ordinan ialah undang-undang diperbuat dengan beberapa cara, termasuk oleh Yang Di-Pertuan Aging ketika pengisytiharan darurat di bawah Fasal 150(2) Perlembagaan Persekutuan.

Untuk membuat ordinan undang-undang, pada masa kini sebenarnya peluang terbaik bagi Putrajaya dan kerajaan Perikatan Nasional kerana jika ordinan  baharu  dibentuk, tidak perlu melalui Parlimen kerana negara berada dalam tempoh darurat. Sepatutnya, inilah perlu dimanfaatkan untuk kepentingan dan hasrat Sabah dan Sarawak.

Di sinilah dapat dilihat bahawa Muhiyiddin Yassin mempunyai peluang terbaik untuk mengubah status negeri Sabah dan Sarawak daripada berstatus negeri ke berstatus wilayah atau negara dengan memanfaatkan masa darurat mengubal ordinan agar istilah dan konsep Sarawak yang baharu lebih jelas.

Seterusnya, sesuai dengan status baharu, jika dibentuk ordinan agar lebih sahih dan sah laku, maka konsep wilayah  atau negara itu perlu  disejajarkan dengan  kuasa autonomi yang lebih jelas, khususnya dalam bidang pendidikan, perkhidmatan awam, hasil negeri seperti sumber minyak dan gas dan sebagainya. Maka tidak menjadi isu, atau disenyapkan apa-apa langkah apabila kerajaan negeri Sarawak melaksanakan pembaharuan hal ehwal aktiviti penerokaan sumber minyak dan gas, misalnya, kerana aktiviti sesuai dengan ordinan baharu yang digubal di Parlimen dan direstukan oleh Putrajaya.

Justeru, sekiranya  sekadar menukar nama sahaja tanpa ikatan atau  tanpa perubahan dalam konteks ordinan atau undang-undang di peringkat Persekutuan,  maka status perubahan nama tidak akan memiliki makna besar, kepentingan dan kesan yang benar-benar dimahukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Continue Reading

Previous: Terminal bas baharu dirancang untuk dibina
Next: Jangan jadi alat anti pembangunan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.