Status 17 kerusi baharu DUN Sarawak masih dalam penelitian SPR

Facebook
WhatsApp
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR)

KUCHING: Status pelaksanaan cadangan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang bakal meningkatkan jumlah kerusi daripada 82 kepada 99 masih dalam penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR ketika dihubungi Utusan Sarawak memaklumkan perkara berkenaan masih dalam tindakan bahagian berkaitan sebelum ia dibawa untuk semakan Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) dan kelulusan pengurusan tertinggi SPR.

“Paling cepat Isnin juga tuan disemak oleh PUU dan kelulusan Pengurusan Tertinggi SPR,” menurut maklum balas SPR kepada Utusan Sarawak.

Perkembangan itu menyusuli laporan Utusan Sarawak pada Khamis lalu mengenai persiapan SPR untuk mempamerkan rang dan pelan warta cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya DUN Sarawak di beberapa lokasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Sebelum ini, beberapa PBT yang dihubungi Utusan Sarawak mengesahkan menerima permohonan daripada SPR melalui surat bertarikh 25 Jun 2026 bagi menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran, majlis daerah dan pejabat daerah untuk tujuan pameran berkenaan.

Bagaimanapun, tarikh sebenar pameran masih belum ditetapkan.

Menerusi surat tersebut, Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak memaklumkan perancangan untuk membekalkan dan menempatkan papan pameran di pejabat majlis perbandaran, majlis daerah dan pejabat daerah di 31 bahagian pilihan raya.

Papan pameran berkenaan bertujuan membolehkan rang dan pelan warta syor bahagian pilihan raya bagi urusan Kajian Semula Persempadanan Negeri Sarawak Kali Ke-7 dipamerkan secara fizikal mengikut tempoh yang akan ditetapkan SPR.

Cadangan berkenaan membabitkan pertambahan 17 kerusi DUN baharu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi meningkat daripada 82 kepada 99.

Antara kerusi baharu yang dicadangkan ialah Serayan, Jagoi dan Singai di bawah Parlimen Mas Gading; Pasir Pandak (Santubong); Matang dan Semarak (Petra Jaya); Maong (Stampin); Tabuan Jaya (Bandar Kuching); Samarindah (Kota Samarahan); Sungai Serin dan Bung Sadong (Puncak Borneo); Muara Lassa (Tanjung Manis); Tanah Mas (Lanang); Sungai Merah, Bukit Kemuyang dan Rasau (Sibu); Melekun (Kapit); Jepak Jaya dan Batu Niah (Bintulu); Bukit Beraya (Sibuti); Permaisuri, Tudan dan Lopeng (Miri); Usun Apau (Baram); Gunung Murud (Lawas); serta Matu dan Igan di bawah Parlimen Batang Lassa.

Selain pertambahan kerusi, cadangan itu turut membabitkan perubahan nama sekurang-kurangnya 10 kawasan DUN sedia ada serta penamaan semula Parlimen Igan sebagai Batang Lassa.

Antara kawasan yang dicadangkan ditukar nama ialah Opar kepada Serayan, Tasik Biru kepada Singai, Tarat kepada Bung Sadong, Semop kepada Muara Lassa, Jemoreng kepada Matu, Bawang Assan kepada Rasau, Jepak kepada Jepak Jaya, Lambir kepada Tudan, Senadin kepada Lopeng dan Ba’Kelalan kepada Gunung Murud.

Sementara itu, Parlimen Igan dicadangkan dinamakan semula sebagai Batang Lassa dengan dua kerusi DUN di bawahnya iaitu Igan dan Matu.

Cadangan penambahan 17 kerusi DUN itu sebelum ini telah diluluskan melalui proses di peringkat negeri, namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada proses persempadanan dan peruntukan undang-undang berkaitan sebelum dapat digunakan dalam pilihan raya.

Justeru, perkembangan terkini daripada SPR menimbulkan persoalan mengenai tempoh yang diperlukan bagi melengkapkan keseluruhan proses berkenaan, khususnya selepas rang dan pelan warta dipamerkan kepada umum.

Antara perkara yang turut dikemukakan kepada SPR ialah tempoh proses selepas pameran, keperluan pembentangan di Parlimen, proses pewartaan serta langkah mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum persempadanan baharu itu dapat dilaksanakan.

Persoalan lain ialah sama ada 17 kerusi baharu berkenaan sempat digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang sekiranya pilihan raya itu diadakan dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, SPR belum memberikan jawapan substantif berhubung tempoh keseluruhan proses berkenaan dan hanya memaklumkan perkara itu masih dalam tindakan bahagian berkaitan.

Sebarang perkembangan lanjut dijangka diketahui selepas semakan PUU dan pertimbangan pengurusan tertinggi SPR selesai.

Oleh Shahrul Qaizat