KUCHING: Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura (STATOS) melancarkan Skim Bantuan Promosi (PASS) bagi membantu peniaga dalam aktiviti eksport barangan ke rantau Asia melalui Singapura.
Menurut Pengerusi STATOS, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani sejumlah SGD 10,000 akan disampaikan kepada peniaga eksport yang berpangkalan di Sarawak menerusi skim PASS untuk menampung kos aktiviti penjenamaan, promosi, dan pemasaran strategik.
“Setiap syarikat yang layak akan menerima insentif tersebut setahun sekali dalam membantu mereka untuk memasukkan produk dan perkhidmatan mereka.
“Tinjauan STATOS juga menunjukkan pengusaha tempatan kurang pengetahuan mengenai peluang di luar negeri dan cara untuk menembusi pasaran tersebut, maka menerusi insentif PASS, ini sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk belajar menembusi pasaran global menerusi Singapura,” jelasnya.
STATOS mendapat sokongan penuh kerajaan Sarawak dan telah menjadi hab komunikasi utama antara komuniti perniagaan di Sarawak dan Singapura bagi memacu ke arah ekonomi yang signifikan.
Beliau juga menggesa agar Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak mencipta identiti global yang lebih kukuh dengan mengeksport produk unik dariSarawak ke negara-negara Asia yang lain dengan menggunakan Singapura yang merupakan salah satu penggerak ekonomi paling dinamik di dunia.
Ini selaras dengan gesaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Abang Openg pada oktober laluuntuk melahirkan lebih ramai peniaga yang dapat masuk ke pasaran eksport antarabangsa menerusi STATOS.
Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan menekankan kepentingan pengeksport dari Sarawak untuk mempunyai jenama yang sangat baik, pembungkusan yang menarik dan visual produk yang profesional yang berkualiti tinggi dan disahkan dengan peraturan Singapura.
“Kita ingin bekerjasama dengan peniaga berdaftar yang memerlukan bantuan untuk mengiklankan, membungkus, melabel, pameran, dan demonstrasi produk untuk pasaran Singapura.
Chew juga berkata ekoran Singapura tidak menghasilkan banyak sumber makanan, maka keutamaan mereka adalah untuk mencari rakan kongsi yang boleh menyediakan sumber makanan untuk negara.
Jelasnya lagi, “Sarawak dilihat mempunyai potensi untuk menjadi rakan kongsi utama di Singapura dalam memastikan bekalan makanan di sana cukup untuk menampung rakyat mereka.”
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga Ogos 2020, Sarawak berada di antara lima pengeksport utama Malaysia pada harga RM4.7 bilion atau 5.9 peratus daripada nilai eksport negara sebanyak RM79.1 bilion.
Untuk memohon geran PASS, atau untuk mendapatkan nasihat dan bantuan untuk mengeksport ke Singapura, pemohon harus menghubungi STATOS di kenny.lau@statos.com.sg atau log masuk ke www.statos.com.sg/trade/.