Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • STATOP bakal jadi hab baharu hubungan Sarawak-Kalimantan Barat
  • SEMASA

STATOP bakal jadi hab baharu hubungan Sarawak-Kalimantan Barat

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau (BCCB),di Bau hari ini.

BAU: Sarawak telah mengenal pasti sebuah bangunan di Pontianak, Indonesia untuk dijadikan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Pontianak (STATOP) yang bakal berperanan sebagai hab perhubungan strategik antara Sarawak dan Kalimantan Barat.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pejabat tersebut akan dibangunkan menggunakan model yang sama seperti STATOS di Singapura dan STATOB di Brunei Darussalam.

Menurut beliau, pejabat itu akan ditempatkan dengan seorang pegawai bersama kakitangan bagi memudahkan urusan perdagangan, pelaburan serta hubungan antara kedua-dua wilayah.

“Kita telah mengenal pasti satu bangunan di Pontianak untuk menjadi pejabat STATOP kita di sana. Dengan adanya kemudahan ini, ia boleh menjadi hab perhubungan antara Sarawak dan Kalimantan Barat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau (BCCB),di sini, hari ini.

Beliau berkata, trend hubungan perniagaan serta sektor penjagaan kesihatan antara Sarawak dan Kalimantan Barat menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan sekali gus memerlukan satu platform rasmi bagi menyelaras kerjasama kedua-dua pihak.

Tambah beliau, sekiranya hubungan ekonomi terus berkembang, Sarawak juga akan menggalakkan institusi kewangan tempatan membuka operasi di Pontianak bagi memudahkan urusan komuniti perniagaan.

“Kita akan meminta Affin Bank mempertimbangkan untuk membuka cawangan di sana bagi menyediakan kemudahan kepada komuniti perniagaan yang berinteraksi antara Kalimantan Barat dan Sarawak,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata cadangan penubuhan Dewan Perniagaan Borneo turut sedang diperhalusi selepas pihak Dewan Perniagaan Indonesia menghubungi Sarawak bagi membincangkan perkara tersebut.

Menurutnya, jika direalisasikan, platform itu akan menghubungkan komuniti perniagaan di Kalimantan, Sabah, Brunei dan Sarawak, sekali gus memperkukuhkan jaringan perdagangan serantau di Pulau Borneo.

Beliau berkata cadangan itu merupakan antara hasil perbincangan susulan lawatannya ke Jakarta baru-baru ini ketika menyampaikan syarahan kepada komuniti perniagaan ASEAN.

“Banyak potensi perniagaan boleh diterokai termasuk dalam pengurusan sumber, tenaga elektrik dan pelaburan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata hala tuju pembangunan Sarawak kini bukan lagi tertumpu kepada pembangunan infrastruktur semata-mata, sebaliknya beralih kepada ekonomi baharu moden yang berasaskan kapasiti intelektual rakyat.

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan pelaksanaan pendidikan tinggi percuma yang bertujuan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi pada masa sama mahu meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Untuk mencapai matlamat itu, kita perlu melalui pendidikan,” jelasnya.

Beliau berkata beberapa syarikat besar di Bintulu dan Sama Jaya kini memerlukan ribuan jurutera, justeru mahasiswa Sarawak perlu diberi peluang menjalani latihan industri serta bekerja sambilan semasa cuti pengajian bagi menyediakan mereka memasuki pasaran pekerjaan.

Tambahnya, graduan dalam bidang kejuruteraan serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berpotensi diserap terus ke dalam industri sebaik menamatkan pengajian.

“Peluang pekerjaan bergaji tinggi ini perlu diberikan keutamaan kepada anak Sarawak terlebih dahulu. Jika tiada, barulah kita mengambil tenaga kerja dari luar,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Arkib bukti penting pertahan hak Sarawak dalam MA63
Next: GPS masih sibuk bangunkan Sarawak, belum fikir soal PRN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.