LAWAS: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pejabat itu akan menjadi landasan kepada hubungan kerjasama antara kedua negara dalam pelbagai aspek ekonomi serantau khususnya pelancongan.
Jelasnya pejabat yang sedang dalam proses naik taraf itu bakal menjadi nadi kepada aktiviti perdagangan dan pelancongan antara negara Brunei dan Sarawak.
“Kita menjangkakan pejabat itu akan dapat beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini dan saya pun sudah pergi ke tempat itu di Brunei dan kita hendak menambah lagi ruang pejabat itu sekurang-kurangnya dua tingkat.
“Di sana nanti kita akan wujudkan dewan pameran untuk mengetahui peluang-peluang yang dapat dilaksanakan terutama sekali sektor pelancongan, perdagangan dua hala dan peluang-peluang pelancongan di antara negara Brunei dan Sarawak khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas di Stadium Tertutup Lawas, semalam.
Turut sama, Pengerusi PERKIM Cawangan Lawas Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu turut melihat pembukaan pejabat ini turut memberi manfaat kepada industri kecil dan sederhana dalam meluaskan pasarannya.
Selain itu, negara Brunei dan negeri Sabah juga bersetuju untuk bersama Sarawak menjalankan promosi secara bersama untuk menjadikan wilayah ini sebagai destinasi pelancongan utama.
“Kita bersetuju menjalinkan promosi bersama Sarawak, Brunei kemungkinan Negeri Sabah. Pada masa sama kita memikirkan bagaimana kita dapat menggunakan kemudahan seperti penerbangan udara di negara Brunei.
“Brunei mempunyai penerbangan udara lebih meluas dan kita kalau dapat bekerjasama dengan Brunei yang menjadi hab antarabangsa dan kita sokong dengan penerbangan ke luar bandar seperti ke Bario ke Ba’Kelalan dan sebagainya,” katanya lagi.
Langkah itu juga bertepatan dengan perancangan Lawas untuk membina lapangan terbang baru.
“Jadi mereka yang datang ke Brunei terus ke Sarawak sama ada yang menggunakan jalan raya atau penerbangan kerana yang kekuatan yang ada pada kita di negeri Sarawak ini dari segi alam semula jadi, budaya dan pengembaraan,” ujarnya.
Selain pejabat STATOB di Brunei, Kerajaan Sarawak juga telah membuka pejabat sama di Singapura iaitu STATOS.
Oleh ADENG EDRUS