BANDAR SERI BEGAWAN: Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOB) di Brunei Darussalam menjadi cerminan komitmen Sarawak dalam memupuk integrasi serantau Asia Tenggara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu juga akan melangkaui transaksi ekonomi dan statistik pelancongan.
“Pejabat serupa telah ditubuhkan di Singapura, dikenali sebagai STATOS. Kami sedang menetapkan platform untuk perkongsian simbiotik yang akan rancak di seluruh komuniti ini.
“Budaya yang pelbagai, kaya dengan sejarah dan usaha kolektif untuk pertumbuhan mampan menyatukan kita dalam usaha untuk membentuk masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pejabat STATOB di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, STATOB akan berfungsi sebagai platform pengumpulan idea, dan peluang untuk potensi kerjasama.
”Inisiatif ini mewakili komitmen berani Sarawak terhadap kerjasama ekonomi yang lebih besar dengan Brunei, berdasarkan pertukaran surat yang ditandatangani pada 2009.
”Saya amat percaya bahawa kerjasama dengan Brunei akan menghasilkan tahap inovasi dan kemakmuran yang tertinggi,” katanya.
Turut hadir ialah dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.