Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Starbucks tutup semua cawangan pembelajaran sejarah di Korea Selatan susulan skandal iklan
  • GLOBAL

Starbucks tutup semua cawangan pembelajaran sejarah di Korea Selatan susulan skandal iklan

Utusan Sarawak 5 hours ago
STARBUCKS tutup semua cawangan pembelajaran sejarah di Korea Selatan susulan skandal iklan

SEOUL: Starbucks menutup kesemua lebih 2,000 cawangannya di seluruh Korea Selatan hari ini bagi membolehkan kakitangannya menghadiri sesi pembelajaran sejarah wajib susulan skandal perhubungan awam yang tercetus akibat kempen pengiklanan kontroversi oleh Shinsegae, pemegang lesen operasi perniagaan syarikat induk Amerika Syarikat itu di Korea Selatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Semua kafe berkenaan ditutup pada petang hari ini bagi membolehkan pekerja menghadiri latihan wajib itu.

Bulan lepas, Shinsegae mempromosikan sebuah termos keluli tahan karat yang dinamakan ‘SS Tank’ dan mengisytiharkan 18 Mei sebagai ‘Hari Tank’.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan rakyat Korea Selatan kerana pada 18 Mei 1980, kerajaan tentera ketika itu menindas secara ganas gerakan prodemokrasi di Bandar Gwangju dengan mengerahkan kereta kebal dalam operasi berkenaan. Beberapa ratus orang dilaporkan terbunuh.

Kempen Shinsegae itu mencetuskan seruan awam supaya memboikot syarikat berkenaan dan ia dihentikan hanya beberapa jam selepas dilancarkan.

Singkatan ‘SS’ yang mengelirukan itu, walaupun dikatakan merujuk kepada ‘stainless steel’ (keluli tahan karat), turut dikenali sebagai singkatan bagi pasukan separa tentera terkenal yang berkhidmat di bawah Adolf Hitler, namun isu itu hanya memainkan peranan kecil dalam kontroversi berkenaan.

Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung, turut mengkritik kempen itu. “Saya marah dengan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh golongan ahli perniagaan seperti ini,” kata beliau menerusi akaun X miliknya.

Shinsegae memohon maaf dan memecat eksekutif yang bertanggungjawab terhadap kempen itu. Selepas menjalankan siasatan dalaman, syarikat menegaskan yang mereka tidak berniat untuk menghina mangsa gerakan demokrasi berkenaan.

Polis Seoul kini turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti latar belakang dan punca kejadian. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Starmer umum akan letak jawatan PM UK, kekal kendali tugas sehingga pemilihan selesai
Next: Bekas Menteri Pengangkutan Sepanyol dihukum penjara 24 tahun atas kesalahan rasuah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.