Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 semarak pelancongan domestik di Sarawak
  • SEMASA

Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 semarak pelancongan domestik di Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
KENANGAN…Datin Rafidah Idris bergambar bersama tetamu kehormat yang lain dan para peserta pada Majlis Perasmian Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 yang berlangsung meriah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Semangat pelancongan dalam negara terus diperkasakan menerusi Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 yang berlangsung meriah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris, yang menyifatkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang luar biasa, kaya dengan keindahan alam semula jadi, budaya berwarna-warni dan keramahan rakyatnya.

SIMBOLIK PERASMIAN… Datin Rafidah Idris merasmikan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 yang berlangsung meriah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini. Foto Norman B

“Sarawak sememangnya negeri yang tiada tandingan. Ia memiliki dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah. Selain itu, Kuching juga diiktiraf sebagai Bandar Kraf Dunia dan Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO,” katanya ketika berucap merasmikan karnival berkenaan.

Menurut beliau, pengiktirafan itu menjadikan Sarawak sebagai hab warisan, kraf tangan serta budaya gastronomi yang tersohor di peringkat antarabangsa.

MENARIK…Datin Rafidah Idris bergambar bersama salah seorang pempamer pada Majlis Perasmian Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 yang berlangsung meriah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini. Foto Norman B

Karnival tiga hari anjuran bersama Tourism Malaysia dan Star Media Group itu menampilkan hampir 70 pempamer terdiri daripada agensi pelancongan, usahawan kreatif dan pengusaha tempatan dari seluruh Malaysia.

“Karnival ini meraikan semangat Malaysia yang sebenar yang menggabungkan masyarakat dari pelbagai latar untuk menikmati kepelbagaian budaya, kulinari dan kreativiti tempatan,” ujar Rafidah.

Beliau turut menambah bahawa Sarawak menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan unik seperti penginapan di rumah panjang, peluang menyelami kehidupan masyarakat Iban serta menyaksikan persembahan kebudayaan dari pelbagai negeri.

WARNA WARNI…Tarian kebudayaan semasa Majlis Perasmian Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2025 yang berlangsung meriah di Plaza Merdeka, di sini, hari ini. Foto Norman B

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu merancakkan semula sektor pelancongan tetapi juga memberi peluang ekonomi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta bakat kreatif tempatan.

“Pelancongan bukan sekadar destinasi, ia tentang manusia dan hubungan. Setiap perjalanan dalam negara membantu menjana pendapatan komuniti tempatan dan memperkukuh warisan serta semangat kebangsaan,” jelasnya.

Rafidah turut menggalakkan rakyat Malaysia memanfaatkan insentif kerajaan menerusi Bajet 2026 yang menawarkan potongan cukai pendapatan sehingga RM1,000 bagi yuran kemasukan ke tempat tarikan pelancong dan program budaya sebagai sokongan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk merancang percutian dalam negara menerusi pelbagai tawaran menarik yang disediakan sepanjang karnival tersebut.

“Hampir 70 pempamer, anda boleh menjelajah seluruh Malaysia di satu tempat melalui pelbagai pakej pelancongan, kraf tangan dan sajian tempatan. Kongsi pengalaman ini dengan keluarga dan rakan agar momentum menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 terus berkekalan,” katanya.

Karnival tersebut diteruskan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, demonstrasi kraf tangan serta promosi istimewa pelancongan dari Sarawak dan seluruh negara.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: PRS: Saingan rebut jawatan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda jadi tumpuan
Next: Terkini: ADUN Tamin, Gira menang jawatan Ketua Pemuda PRS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.