SELEPAS edisi 2020 dibatalkan susulan ketidaktentuan pandemik Covid-19, kemuncak saingan Piala Malaysia kembali menemui peminat dengan pertembungan final antara Kuala Lumpur (KL) City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.
Sepak mula perlawanan akhir ulang tahun ke-100 Piala Malaysia itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, pada 9 malam.
Setakat pukul 5 petang di perkarangan stadium, suasana beransur meriah dengan pelbagai acara serta aktiviti yang diserikan penyokong kedua-dua pasukan, selain pelbagai jualan di sekitar stadium turut menyemarakkan keadaan.
Penyokong JDT kebanyakannya hadir serba hitam dan menggayakan mafla berjalur merah-biru simbolik logo skuad Harimau Selatan manakala penyokong KL City FC tampil dengan pakaian berwarna merah iaitu warna jersi tuan rumah skuad Warga Kota.
Pintu pagar Stadium Nasional dibuka kepada penyokong bermula 6.00 petang semalam.
Bagi penyokong JDT yang ingin dikenali sebagai Fikri, dia rasa bersemangat kerana berpeluang menonton perlawanan akhir Piala Malaysia di stadium selepas pembatalan saingan itu musim lepas.
“Rasanya tidak sabar dan semangatnya lain macam sebab final kan, sudah lama sangat tidak menonton perlawanan di stadium dan ini juga final pertama JDT selepas 2019,” kata pemuda berasal dari Batu Pahat itu.
Seorang pelajar dikenali sebagai Wawa, 16, berkata dia sanggup mengambil cuti semata-mata tidak mahu melepaskan peluang menonton pasukan kesayangan beraksi bersama keluarganya.
“Kami datang dari jauh…dari Muar, kami sangat teruja. Tidak dapat cuti (hari ini) tapi minta juga dan alhamdulillah dapat,” katanya yang menjangkakan JDT menang 3-1.
Dalam pada itu, penyokong KL City FC yang mahu dikenali sebagai Azmi berharap keputusan positif berpihak kepada pasukan itu sekali gus menamatkan penantian 32 tahun untuk melihat trofi Piala Malaysia menjadi milik mereka.
“Memang JDT menjadi pilihan di atas kertas tetapi pasukan kami tidak pernah kalah di Kuala Lumpur. Itu setidak-tidaknya perlu menjadi peringatan kepada JDT,” kata penjawat awam berusia 33 tahun dari Cheras itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekitar venue perlawanan termasuk penyokong kedua-dua pasukan pada tahap memuaskan.
Anggota penguat kuasa juga dilihat bersiap siaga di sekitar stadium manakala anggota trafik mula mengawal lalu lintas di sepanjang jalan dan persimpangan utama menuju Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebanyak 20,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan pertembungan KL City FC dan JDT yang juga pertemuan pertama kedua-dua pasukan di pentas final selepas melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Kuala Lumpur FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1985.
JDT muncul juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013, manakala ini perlawanan akhir pertama buat KL City FC yang ditubuhkan tahun lepas.
Kuala Lumpur FA pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989 dengan ketiga-tiganya menumpaskan Kedah.- Bernama