
BINTANGOR: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf Stadium Bola Keranjang Bintangor dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan mencapai tahap kualiti yang memuaskan.
Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, selepas meninjau kemajuan projek berkenaan dalam lawatan kerja ringkas ke tapak projek pada, hari ini.
“Saya berpuas hati dengan pelaksanaan projek ini. Para kontraktor yang dilantik melalui sistem cabutan undi telah menjalankan tugas dengan baik dan menepati spesifikasi yang telah digariskan,” katanya.
Tambah beliau, projek ini yang dilaksanakan secara berfasa sejak 2020 membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kemudahan prasarana luar bandar, khususnya dalam bidang sukan.
Empat fasa projek telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan peruntukan berjumlah RM3.4 juta, bermula dengan Fasa Pertama dan Kedua masing-masing bernilai RM1 juta pada 2020 dan 2021, diikuti RM800,000 untuk Fasa Ketiga pada 2022, dan Fasa Keempat pada tahun 2024 yang melibatkan kos sebanyak RM600,000.
Fasa terkini (fasa 4) melibatkan kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur seperti pembinaan tempat duduk penonton, kemudahan tandas awam serta penyediaan sistem bekalan elektrik, bagi melengkapkan fasiliti stadium yang sedia ada.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Bintangor, Gung Chiu Kion, Penolong Jurutera Awam Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Molica, Pemanca Yii Hee Sieng, Kapitan Lee Koh Ung, serta ahli-ahli Persatuan Bola Keranjang Bintangor. -UKAS