KUCHING: Pengerusi Persatuan Kayu Sarawak (STA), Dato Henry Lau berharap Kerajaan Sarawak dapat memberi tempoh 12 bulan kepada STA bagi melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pada masa sama membenarkan pendekatan fasa untuk meningkatkan cukai secara perlahan dalam tempoh dua tahun dengan tidak mengenakan kadar cukai semasa yang ditetapkan.
Menurut beliau, industri perkayuan tidak bersedia dengan SST mendadak antara satu hingga 2.5 peratus yang dikenakan ke atas eksport produk kayu terpilih berkuat kuasa 1 April ini.
Antaranya, kayu gergaji, venir, serpihan kayu, papan partikel dan papan gentian dan papan lapis.
“Ahli kami hanya menerima pemberitahuan untuk mendaftar SST pada 21 Mac 2023, walaupun keputusan untuk mengenakan SST telah dibuat pada Oktober 2021.
“Cukai baharu ini ke atas produk kayu terpilih boleh membawa kesan meluas kepada industri perkayuan hiliran, termasuk peningkatan kos pengeluaran, penurunan daya saing dan bahagian pasaran mengurangkan pelaburan, pengecilan saiz industri perkayuan hiliran dan akhirnya kehilangan hasil bagi Kerajaan Sarawak.
“Hal ini akan menjejaskan dan mempertaruhkan kelangsungan industri perkayuan hiliran, apatah lagi untuk mencapai sasaran eksport Kerajaan Sarawak sebanyak RM6 bilion dalam produk kayu nilai tambah menjelang 2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Laporan mengenai Kerja-kerja STA pada mesyuarat agung tahunan persatuan itu di Wisma STA di sini, hari ini.
Dato Henry Lau disamping itu turut menggesa Kerajaan Negeri untuk mempercepat proses kemasukan pekerja asing yang pengambilannya tidak hanya tertumpu dari Indonesia sahaja sebaliknya juga dari negara lain.
“Kerajaan Sarawak perlu mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari negara lain seperti Bangladesh, Nepal dan Myanmar bagi memenuhi keperluan mendesak untuk tenaga kerja dalam industri ini.
“Dasar Sarawak yang hanya mengambil pekerja dari Indonesia sahaja telah menambah isu kekurangan pekerja am, keadaan yang jika dibiarkan boleh menjejaskan reputasi Sarawak dalam kelestarian dan kesinambungan pengeluaran untuk eksport.
“Isu ini dan isu-isu mendesak lain yang dihadapi oleh industri telah diketengahkan kepada Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) dalam sesi dialog pada April 2022,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA