
KUCHING: Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan caj pembaharuan pekerja asing di bawah sistem Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) sehingga semakan menyeluruh dan sesi libat urus dengan pihak industri dilaksanakan.
Ketua Pegawai Eksekutif STA, Annie Ting berkata, kenaikan caj daripada RM904 kepada RM1,483 mulai 1 Jun lalu dan RM1,854 mulai 1 Januari 2027 akan meningkatkan beban kewangan majikan, khususnya dalam sektor intensif buruh.
Menurutnya, STA sebelum ini telah mengemukakan kebimbangan berhubung perkara itu kepada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala serta merayu kepada Premier Sarawak agar campur tangan dan menyemak semula kadar berkenaan.
“STA berpandangan caj pembaharuan perlu dikekalkan pada kadar RM904 bagi mengelakkan peningkatan kos operasi yang ketara kepada majikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak dijangka memerlukan lebih 300,000 pekerja asing dalam masa terdekat bagi menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, jika caj RM1,854 dikenakan bagi setiap pekerja, industri di Sarawak dijangka menanggung kos sehingga RM556 juta setahun.
Menurut STA, jumlah yang besar itu dibayar kepada penyedia perkhidmatan swasta dan bukannya menjadi hasil kerajaan negeri, justeru penjelasan mengenai rasional serta justifikasi kadar tersebut perlu diberikan bagi memastikan ketelusan.
Pada masa sama, STA menghargai kesediaan Premier Sarawak mendengar kebimbangan pemain industri dan memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan meneliti pilihan untuk menyemak semula kadar caj yang dikenakan kepada sektor swasta.
Bagaimanapun, persatuan itu mempersoalkan paparan kadar pada portal FWTA yang didakwa masih mengekalkan caj asas yang sama, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan majikan mengenai status semakan yang diumumkan sebelum ini.
STA turut membangkitkan isu kadar caj yang sama dikenakan bagi permohonan baharu dan pembaharuan pekerja asing walaupun kedua-dua proses itu melibatkan prosedur yang berbeza.
Sehubungan itu, STA menggesa kerajaan negeri menjelaskan status semakan caj FWTA, menangguhkan kenaikan caj pembaharuan pekerja asing dan mengadakan sesi konsultasi dengan pihak industri tanpa berlengah.