
KOTA SAMARAHAN: Projek pembinaan Jalan Utama Kedua Sarawak (SSTR) Pakej A1-B bakal menjadi projek jalan berkembar empat lorong bertingkat pertama di Sarawak, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan mobiliti dan merangsang pertumbuhan sosioekonomi negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak projek bagi meninjau perkembangan pelaksanaannya serta menerima taklimat mengenai status semasa pembinaan.
Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris, bersama barisan pengurusan tertinggi JKR Sarawak serta pasukan pelaksana projek.
Projek itu melibatkan pembinaan jalan baharu berkembar empat lorong sepanjang 13.724 kilometer mengikut piawaian JKR R5 dari CH8+150 ke Batang Sadong, termasuk 11.8 kilometer jalan bertingkat.
Sehingga Jun tahun ini, projek berkenaan telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 2.68 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Ogos 2030.
Uggah berkata Projek SSTR Pakej A1-B membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membangunkan infrastruktur bertaraf tinggi serta menyerlahkan keupayaan JKR Sarawak melaksanakan projek kejuruteraan yang kompleks mengikut piawaian ditetapkan.
Beliau berkata projek itu merupakan jalan berkembar empat lorong bertingkat pertama di Sarawak dan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur negeri.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan projek berimpak tinggi itu turut memperlihatkan kerjasama erat antara kerajaan Sarawak, JKR Sarawak dan kontraktor dalam memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan.

“Saya yakin JKR Sarawak bersama kontraktor yang dilantik mempunyai kepakaran, pengalaman dan komitmen untuk menyiapkan projek ini mengikut jadual, mematuhi spesifikasi yang ditetapkan serta memenuhi standard kualiti tertinggi,” katanya.
Selain Projek SSTR Pakej A1-B, Uggah turut diberi taklimat mengenai beberapa projek jalan raya strategik di Bahagian Samarahan dan Gedong melibatkan pembinaan jalan berkembar baharu, naik taraf jalan kepada piawaian JKR R5 serta penyediaan infrastruktur sokongan.
Bagi Projek Lebuh Raya Berkembar Serian–Gedong–Samarahan Pakej 1, Seksyen 1A mencapai kemajuan fizikal 16.15 peratus, Seksyen 1B sebanyak 9.01 peratus dan Seksyen 2 mencatat 16.87 peratus setakat Jun taun ini.
Sementara itu, Projek Lebuh Raya Berkembar Serian–Gedong–Samarahan Pakej 2 merekodkan kemajuan fizikal 0.04 peratus bagi Seksyen A dan 13.14 peratus bagi Seksyen B dalam tempoh sama.
Apabila siap kelak, Projek SSTR Pakej A1-B bersama rangkaian projek jalan raya strategik di Bahagian Samarahan dan Gedong dijangka meningkatkan kebolehcapaian, mengurangkan masa perjalanan serta menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan wilayah yang lebih seimbang selaras dengan agenda pembangunan kerajaan Sarawak.
Oleh Adi Safarman