
KUALA LUMPUR: Kesan keseluruhan daripada semakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas sektor hartanah boleh dikurangkan melalui permintaan yang sihat untuk hartanah perindustrian, kata RHB Investment Bank Bhd.
Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata perang perdagangan yang berlarutan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta dasar tarif yang berubah-ubah dijangka mendorong lebih banyak syarikat di rantau ini untuk memindahkan operasi mereka ke Asia Tenggara.
“Jualan hartanah perindustrian serta projek-projek di Iskandar Malaysia kekal kukuh setakat ini.
“Sehubungan itu, walaupun syarikat-syarikat hartanah berkemungkinan mencatat sedikit penyusutan margin, permintaan terhadap hartanah perindustrian dan komersial dijangka kekal sihat dalam jangka sederhana,” katanya.
Baru-baru ini Kementerian Kewangan mengumumkan semakan SST dan diperluas seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025 yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai, 2025.
Kadar cukai jualan antara lima hingga 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan yang terpilih, manakala cukai perkhidmatan akan diperluaskan untuk merangkumi sektor-sektor seperti perkhidmatan pembinaan, dengan cukai 6.0 peratus dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memperoleh pendapatan tahunan melebihi RM1.5 juta.
Sementara itu, bank pelaburan berkenaan berkata pelaksanaan SST ke atas kontrak-kontrak pembinaan dan pendapatan pajakan berkemungkinan memberi sedikit kesan ke atas margin keuntungan pemaju.
Memandangkan kos pembinaan yang lebih tinggi, ia berkata harga hartanah perindustrian dan komersial mungkin turut meningkat tahap kenaikan itu akan bergantung kepada sama ada pemaju boleh memindahkan sepenuhnya kenaikan kos berkenaan.
“Pada pandangan kami, permintaan terhadap hartanah perindustrian seharusnya kekal sihat memandangkan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang berlarutan — terutamanya dengan pemangkin infrastruktur dan insentif yang terdapat di Iskandar Malaysia,” katanya.
RHB Investment Bank berkata pemaju yang mempunyai lebih banyak pendedahan kepada segmen perindustrian dan komersial mungkin berdepan kos pembinaan yang lebih tinggi, memandangkan kontraktor dijangka memasukkan cukai SST enam peratus semasa membida projek-projek baharu.
Ia berkata hartanah perindustrian dan komersial yang sedang dalam pembinaan juga akan menyaksikan kos yang lebih tinggi untuk baki bil bagi kos yang masih perlu ditanggung.
“Pada akhirnya, kami menjangkakan pemaju akan memindahkan kos tambahan itu kepada pembeli, jadi harga hartanah perindustrian dan komersial yang baharu berkemungkinan menjadi lebih mahal dan kuasa pasaran (permintaan dan penawaran) akan terus memainkan peranannya,” katanya.
-Bernama