
LIMBANG: Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) dan Lebuh Raya Kawasan Utara akan membuka peluang untuk lebih banyak pembangunan yang turut menghidupkan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata SSLR satu pilihan utama rakyat di utara negeri ini untuk ke Miri mahupun ke Sabah tanpa melalui negara jiran, Brunei Darussalam.
Lebuh Raya Kawasan Utara yang akan memulakan pembinaan suku pertama tahun ini menghubungkan Limbang Lawas dan ke Miri melalui negara jiran tersebut.
“Pembangunan jalan raya yang menghubungkan Limbang ke Lawas tanpa memasuki Daerah Temburong Brunei terus ke Miri dan Marudi menggunakan jalan SSLR.
“Ada juga jalan dari Limbang ke Lawas yang masuk melalui Brunei yang dinamakan Lebuh Raya Kawasan Utara dan dalam lebuh raya ini akan terbina dua jambatan lagi, selain pembinaan jambatan Sungai Limbang yang kedua yang dijangka siap hujung tahun ini,” katanya berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Limpaong malam tadi.
Turut sama ialah Pegawai Perpaduan Bahagian, Suriani Yusop dan Penghulu Zahedi Asol.
Menurut Abdul Rahman, jajaran baharu SSLR tidak akan melalui negara Brunei sebaliknya melalui jajaran daripada Mulu, Gunung Buda, Limbang dan Lawas yang turut meliputi jalan ke rumah panjang dan perkampungan di pedalaman kawasan utara Sarawak.
Kerja-kerja pembinaan yang bermula sejak 2021 mengambil masa selama 53 bulan untuk disiapkan mengikut kontrak dengan kos RM1.2 bilion.
Fasa pertama SSLR melibatkan pembinaan jalan sepanjang 77 kilometer (km) dari Lawas ke Persimpangan Long Lopeng.
Katanya, projek Lebuh Raya Kawasan Utara membabitkan peruntukan besar selain menampilkan reka bentuk unik dan menarik dengan memasukkan pembinaan jalan raya bertiang sepanjang dua kilometer, dengan ia juga merupakan yang terpanjang di Malaysia.
Oleh Adeng Edrus