
BATU NIAH: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) secara rasmi menyerahkan pengurusan perkhidmatan penginapan dan hospitaliti di Taman Negara Niah kepada Sutera Sanctuary Lodges (SSL).
Penyerahan itu sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama dalam memperkasa pengalaman pelawat di Taman Negara Niah yang telah diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurut kenyataan SFC, majlis penyerahan telah diadakan di Taman Negara Niah semalam dengan melibatkan pemeteraian nota dan penyerahan kunci, diikuti pertukaran cenderamata simbolik sebagai tanda kerjasama erat antara SFC dan SSL.
“Semua tempahan penginapan di Taman Negara Niah hendaklah dibuat terus melalui Sutera Sanctuary Lodges (SSL).
“Walau bagaimanapun, SFC kekal sebagai penjaga rasmi Taman Negara Niah dengan terus menguruskan penguatkuasaan, perlindungan, pemuliharaan serta kutipan yuran masuk,” katanya.
Sementara itu, dalam ucapan Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran, menekankan kepentingan kolaborasi serta tanggungjawab bersama dalam memelihara khazanah warisan berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SSL Ravindran Kathiravelu, Pengarah Korporat Pembangunan Perniagaan Strategik SSL Kueh Lian See, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) SFC Japanie Bujang dan Pengurus Wilayah Miri, SFC Louis Velda.
Oleh Adum Liu