KUALA TERENGGANU: Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS) mencatat kejayaan dalam penyertaan sulung apabila muncul naib johan Kategori Sekolah Seni Malaysia pada Pertandingan Orkestra Jazz Perpaduan Generasi Madani Peringkat Kebangsaan 2026, di sini.
Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 September di Dewan Konvensyen TTI itu menyaksikan SSeMS bersaing dengan empat sekolah lain dalam kategori berkenaan.
Sekolah yang mengambil bahagian ialah Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Sekolah Seni Malaysia Johor, Sekolah Seni Malaysia Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura, Sabah.
Menerusi penyertaan itu, SSeMS tampil dengan 18 murid dan tiga guru pembimbing, dengan persembahan yang menggabungkan permainan alat muzik, vokal serta kepimpinan konduktor.
Ketua Kontinjen SSeMS, Raynold Ebony berkata, penyertaan kali pertama itu bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman kepada murid dalam pertandingan muzik di peringkat kebangsaan.

Raynold yang juga Ketua Bidang Muzik SSeMS berkata, sekolah berkenaan sebelum ini sering meraih anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai kategori pertandingan dalam dan luar negara.
“Pencapaian tersebut sekali gus mengharumkan nama sekolah khususnya dan Sarawak umumnya dalam persada muzik pendidikan kebangsaan,” katanya.
Persembahan SSeMS turut menonjolkan kemahiran teknikal, kreativiti, disiplin dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan murid.
Pertandingan berkenaan mempertandingkan dua kategori, iaitu Sekolah Harian dan Sekolah Seni Malaysia, bagi memberi ruang kepada murid mengetengahkan bakat serta kebolehan dalam bidang muzik.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelarasan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia, Huszaidi Hussin.
Oleh Afiq Sallehi





