
SIBU: Hari Terbuka dan Jualan Amal Tahunan ke-47 Persatuan Orang Buta Sarawak (SSB) Cawangan Bahagian Sibu yang berlangsung hari ini menjadi simbol kesinambungan usaha memperkasa komuniti orang buta.
Acara tahunan yang selaras dengan sambutan Hari Tongkat Putih dan Hari Penglihatan Sedunia yang diraikan di seluruh dunia sepanjang bulan Oktober itu disifatkan bertepatan dengan semangat bulan kesedaran penglihatan sedunia, sekali gus mengiktiraf sumbangan besar pelbagai pihak dalam memperkasa komuniti orang buta di Sarawak dan Malaysia amnya.
Presiden Persatuan Orang Buta Sarawak (SSB) Dato’ Dr Hsiung Kwo Yeun berkata, majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan tetapi turut mencerminkan perjalanan panjang perjuangan komuniti itu sejak 1963, apabila pertubuhan mereka pertama kali didaftarkan di Kuching.
Beliau turut mengenang jasa beberapa tokoh perintis Datuk Seri Lau Hui Kang serta beberapa tokoh lain yang banyak berkorban masa serta tenaga untuk membangunkan pertubuhan orang buta di negeri ini.
“Pada zaman awal, mereka tidak mempunyai pejabat dan penyokong pun sangat sedikit, namun perjuangan tetap diteruskan. Semangat itulah yang menjadi asas kekuatan kita hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Terbuka dan Jualan Amal Tahunan ke-47 Persatuan Orang Buta Sarawak (SSB) Cawangan Bahagian Sibu, hari ini.
Beliau turut menyanjung jasa mendiang Datuk Seri Lau Hui Kang yang bukan sahaja pernah menjadi Presiden Negeri, malah Presiden Presiden Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia (NCBM).
“Di bawah kepimpinan beliau, dua unit lot kedai di Kuala Lumpur telah dibeli untuk dijadikan sumber pendapatan tetap kepada organisasi kebangsaan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, katanya, beberapa lain turut dikenang atas sumbangan besar mereka, termasuk melaksanakan program pembedahan ketarak percuma untuk penduduk luar bandar yang telah memberi manfaat kepada lebih 9,000 penduduk pedalaman di seluruh Sarawak.
“Program ini sangat bermakna kerana membantu mereka yang tidak berkemampuan, termasuk di kawasan terpencil seperti Long Jawe (Belaga) dan Ulu Limbang. Kami satu-satunya pertubuhan di Malaysia yang melakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan semasa termasuk Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting dan Datin Sri Judy Lau serta yang lain atas komitmen dan dedikasi mereka dalam meneruskan legasi perjuangan tersebut.
“Melalui pengaruh dan jaringan hubungan mereka, pelbagai inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sumbangan mereka sangat besar kepada masyarakat orang buta,” ujarnya.
Beliau turut memuji semangat masyarakat Sibu yang sentiasa memberi sokongan kukuh terhadap usaha kebajikan, khususnya dalam aspek kutipan dana tahunan.
“Saya sudah menghadiri banyak acara di seluruh negara, tetapi Sibu sentiasa menghasilkan keputusan terbaik. Tahun demi tahun, sumbangan semakin meningkat, bukan sahaja dari segi wang ringgit, tetapi juga keikhlasan hati.
“Setiap sen yang disumbangkan akan digunakan sepenuhnya untuk kebajikan orang buta. Tiada pembaziran,” tegas beliau.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Timbalan Presiden SSB, Clarence Ting Ing Hort, Pengerusi Penganjur, Datin Sri Judy Lau serta yang lain.
Oleh Akun Giman