AKTIVIS dan penyokong parti Janatha Vimukthi Peramuna melaungkan slogan anti-kerajaan semasa demonstrasi di
Colombo.• Foto AFP
COLOMBO: Penduduk Sri Lanka terpaksa bergantung kepada tenaga air bagi membantu mengurangkan krisis tenaga yang semakin meruncing disebabkan kekurangan rizab pertukaran asing untuk membayar bahan api dan import lain.
Lapor South China Morning Post, tenaga air atau hydropower boleh menjadi penyelesaian jangka sederhana semasa ketiadaan bekalan elektrik yang berlarutan lebih 13 jam, hujung Mac lalu.
Dengan populasi 22 juta orang, permintaan terhadap bekalan elektrik harian di Sri Lanka adalah kira-kira 4,000 gigawatt jam sehari.
Bagaimanapun, Lembaga Elektrik Ceylon (CEB) tidak dapat mengekalkan tahap pengeluaran tersebut sejak Januari lalu.
Sebab-sebab defisit bekalan itu adalah kompleks daripada pengurangan drastik dalam penjanaan tenaga air semasa musim kemarau kepada peralihan negara yang perlahan ke arah bentuk sumber tenaga boleh diperbaharui lain.
Situasi bertambah buruk akibat krisis mata wang asing, harga minyak dan arang batu yang tinggi di pasaran global.
Loji kuasa elektrik terbesar Sri Lanka di Norochcholai terpaksa ditutup selama hampir enam minggu, berikutan gangguan bekalan elektrik di seluruh negara, sejak 3 Disember lalu.
Sumber CEB mendedahkan, kira-kira 330 megawatt-jam kapasiti penjanaan bekalan elektrik harian hilang dan kerugian itu terpaksa digantikan dengan tenaga air.
“Apabila kapasiti tenaga air jatuh rendah, tenaga haba yang dijana melalui bahan api terpaksa mengisi jurang itu,” katanya.
Peserta protes maut
Dalam pada itu, situasi di Sri Lanka semakin tidak terkawal selepas anggota polis menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan sehingga seorang peserta terkorban.
Demonstrasi turut menyebabkan 24 yang lain cedera ketika Sri Lanka bergelut dengan krisis ekonomi yang semakin merudum.
Kejadian berlaku ketika anggota polis melepaskan tembakan secara langsung ke arah orang ramai yang menyekat laluan kereta api dan lebuh raya yang menghubungkan ibu kota Colombo dengan pusat bandar Kandy.
Daripada 24 mangsa yang cedera, lapan orang memerlukan pembedahan kecemasan, manakala, lapan anggota polis turut mengalami kecederaan.
Pihak polis memaklumkan orang ramai cuba membakar tangki yang membawa minyak diesel selepas tembakan gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan mereka di bandar Rambukkana, 95 kilometer dari ibu negara.
Jurucakap polis, Nihal Thalduwa berkata, tembakan dilepaskan ketika kumpulan perusuh mula membaling batu ke arah pihak berkuasa.
Susulan itu, katanya, perintah berkurung dilaksanakan di kawasan itu.
Laporan media tempatan menyatakan penunjuk perasaan melemparkan kembali tong gas pemedih mata yang dilepaskan anggota polis ketika pertempuran berlaku.
Krisis di Sri Lanka semakin parah apabila tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di seluruh negara bagi mendesak Presiden Gotabaya Rajapaksa dan keluarganya meletak jawatan dalam kerajaan.
Terdahulu, Colombo mengumumkan negara ini sudah tidak mampu membayar hutang luar negara sebanyak AS$51 bilion (RM216 bilion) selepas rizab negara merosot ke paras terendah.
Sri Lanka sebelum ini pernah meminta bantuan dari China, termasuk pinjaman dana berjumlah AS$1 bilion (RM4.2 bilion) bagi melangsaikan pembayaran balik pinjaman sedia ada dengan negara itu dan saluran kredit AS$1.5 bilion (RM6.4 bilion) untuk membeli barangan keluaran China.
Namun, setakat ini, Beijing tidak menyatakan sama ada ia bersedia atau sebaliknya untuk memberikan bantuan kewangan kepada Colombo.-AFP