SRI AMAN: Kawasan Parlimen Sri Aman dilihat berpotensi menerima satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, namun cadangan mewujudkan DUN Bukit Kelingkang tidak disenaraikan dalam 17 kerusi baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan, yang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai sesuatu yang mengecewakan sekiranya senarai tersebut benar.
Snowdan, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata pihaknya sebelum ini telah mengemukakan cadangan supaya Bukit Kelingkang diwujudkan sebagai kerusi DUN baharu.
Menurutnya, cadangan tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor penting termasuk saiz dan komposisi penduduk, keadaan geografi, akses serta hubungan pengangkutan dan kecekapan pentadbiran.
“Walaupun kita menghargai usaha SPR mengenal pasti lokasi 17 kerusi baharu, nampaknya seluruh kawasan Sri Aman termasuk kawasan bersebelahan Lubok Antu terlepas daripada peluang untuk mendapat satu kerusi baharu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Parlimen Sri Aman ketika ini merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan dan Simanggang.
Snowdan berkata pihaknya berharap cadangan mewujudkan DUN Bukit Kelingkang dapat dipertimbangkan kerana itu dilihat mampu memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan yang tinggal berselerak di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, turut melahirkan kekecewaan sekiranya laporan mengenai cadangan 17 kerusi DUN baharu itu adalah tepat.
Beliau menegaskan bahawa Parlimen Sri Aman sememangnya wajar diberikan satu lagi kawasan DUN bagi membolehkan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan kepada masyarakat setempat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Ini bukan sekadar permintaan politik tetapi satu keperluan sebenar berdasarkan faktor geografi, aksesibiliti dan keperluan rakyat,” katanya yang juga Ketua Wanita PRS.
Doris berkata, Parlimen Sri Aman mempunyai keluasan kira-kira 685,224 ekar, meliputi Balai Ringin seluas 340,017 ekar, Bukit Begunan (261,685 ekar) dan Simanggang (83,522 ekar).
Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan antara kawasan Parlimen terbesar di Sarawak dengan kira-kira 900 rumah panjang dan penempatan yang tersebar di kawasan luar bandar, sungai serta berbukit.
Katanya, keadaan geografi yang luas menyebabkan masyarakat di beberapa kawasan masih berdepan cabaran dari segi hubungan jalan raya, bekalan air terawat, elektrik, telekomunikasi dan kemudahan asas lain.
“Skala pembangunan yang semakin meningkat serta keluasan kawasan ini telah meningkatkan tanggungjawab wakil rakyat dalam menyelaras projek pembangunan, mendekati masyarakat dan memastikan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Doris berkata pewujudan DUN Bukit Kelingkang mampu mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui akses yang lebih mudah kepada wakil rakyat, pengukuhan hubungan akar umbi serta pemantauan projek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap.
Beliau menambah bahawa cadangan itu juga selaras dengan prinsip bahawa persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak perlu mengambil kira faktor keluasan geografi, aksesibiliti dan keperluan pembangunan, bukan semata-mata berdasarkan jumlah penduduk.
Oleh Adi Safarman





