
KUALA LUMPUR: Selangor Red Giants (SRG.OG) tidak akan berehat panjang selepas menjuarai Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang Malaysia (MPLMY) musim ke-15 semalam bagi memberi fokus kepada Mid Season Cup (MSC) sempena Piala Dunia Esports (EWC) 2025 di Riyadh, Arab Saudi bulan depan.
Pengerusi Selangor Red Giants Esports Simon Lim berkata para pemain akan diberikan rehat selama tujuh hari sebelum kembali menjalani latihan sebagai persiapan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun lepas.
“Kami cuba mempertahankan gelaran juara (MSC) dan ia bukan sesuatu yang mudah. Seperti yang anda lihat, setiap pasukan sudah meningkatkan mutu permainan mereka.
“Bagaimanapun saya sangat yakin dan percaya dengan para pemain serta jurulatih. Siapa tahu mungkin kami akan menjuarai MSC dua kali berturut-turut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, SRG.OG menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya memenangi MSC tahun lepas selepas menewaskan wakil Filipina AP Bren Sport 4-2.
Kejayaan itu turut menyaksikan SRG.OG berjaya menamatkan kemarau tujuh tahun pasukan dari Malaysia untuk menjuarai kejohanan antarabangsa MLBB.
Selain SRG.OG, sebuah lagi pasukan Malaysia iaitu Homebois turut layak ke MSC 2025 selepas muncul naib juara MPLMY musim ke-15.
Sementara itu, Simon berkata kejayaan semalam yang juga kejuaraan hatrik MPL MY adalah hasil usaha keras para pemain dan jurulatih SRG.OG yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan gelaran itu kekal milik mereka.
“Setiap kali para pemain tidak berpuas hati dengan scrim atau latihan pada hari tertentu, mereka sendiri yang minta untuk tambah sesi berkenaan. Inilah ganjarannya,” katanya.
Semalam, SRG.OG menjadi pasukan pertama melengkapkan kejuaraan hatrik MPLMY apabila memenangi musim ke-15 selepas menumpaskan Homebois 4-0 dalam aksi grand final yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara. – Bernama