SIBU: Pelancaran SRAS Go-Live menjadi satu lagi langkah penting kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyampaian bantuan perumahan yang lebih cekap, telus dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, transformasi digital Skim Bantuan Sewa Sarawak (SRAS) mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak terhadap pendigitalan dan usaha berterusan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
Menurutnya, platform digital itu membolehkan SRAS diuruskan dengan lebih sistematik, cekap dan telus, selain memperkukuh pemantauan permohonan serta menyediakan maklumat lebih baik bagi membantu proses membuat keputusan.
“Yang paling penting, pendigitalan ini seharusnya menjadikan proses permohonan lebih mudah dan memudahkan urusan para pemohon,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SRAS Go-Live: Transformasi Digital Skim Bantuan Sewa Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, SRAS merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) bagi membantu isi rumah yang layak menguruskan komitmen sewaan mereka.
Katanya, bagi kebanyakan keluarga, sewa rumah merupakan antara perbelanjaan bulanan yang besar, justeru bantuan berkenaan dapat meringankan beban kewangan serta memberi lebih ruang kepada keluarga menguruskan keperluan asas lain.
“Sejak dilaksanakan pada 2021, kementerian telah berusaha menambah baik dasar SRAS secara berperingkat dari tahun ke tahun bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.
“Sambutan terhadap skim ini amat menggalakkan. Sehingga kini, HDC telah menerima 8,070 permohonan, dengan 7,717 permohonan telah diluluskan, iaitu sekitar 95.6 peratus daripada keseluruhan permohonan yang diterima,” jelasnya.
Tiang berkata, angka berkenaan menunjukkan SRAS terus relevan dan penting kepada isi rumah di seluruh Sarawak.
“Pelancaran SRAS Go-Live merupakan langkah penting dalam usaha kerajaan Sarawak meningkatkan kecekapan penyampaian bantuan perumahan melalui penggunaan teknologi digital,” ujarnya lagi.
Katanya, pendigitalan bukan sekadar memodenkan sistem sedia ada, tetapi turut membolehkan pengurusan bantuan dilakukan dengan lebih berasaskan data dan berorientasikan rakyat.
“Sebagai agensi pelaksana, HDC mesti terus memastikan SRAS disampaikan dengan cekap, adil dan bertanggungjawab.
“Saya menggalakkan HDC untuk terus menambah baik sistem, memperkukuh penglibatan dengan para pemohon dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya,” katanya.
Tiang menegaskan pelancaran SRAS Go-Live bukanlah penghujung perjalanan, sebaliknya permulaan kepada pendekatan yang lebih cekap, berasaskan data dan berorientasikan rakyat dalam penyampaian bantuan perumahan.
“Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh program-program perumahannya dan meneroka kaedah baharu bagi memberikan sokongan yang lebih baik kepada rakyat seiring dengan perubahan dan perkembangan keperluan mereka,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), agensi kerajaan berkaitan, para pegawai, rakan kongsi teknologi dan semua pihak berkepentingan yang menyumbang kepada pelaksanaan SRAS dan pembangunan platform digital berkenaan.
“Dengan pelancaran SRAS Go-Live, kita mengambil satu lagi langkah ke arah penyampaian bantuan kerajaan yang lebih cekap, telus dan berorientasikan rakyat.
“Marilah kita terus bekerjasama ke arah mewujudkan Sarawak yang memastikan bantuan perumahan mudah diakses, perkhidmatan disampaikan dengan cekap dan tiada keluarga yang tercicir,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi HDC Abdul Yakub Arbi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Jamilah Bujang dan Timbalan Pengarah Bahagian Strategi, Pusat Digital UNIMAS Flora Intai.
Oleh Akun Giman





