SIBU: Kerajaan Sarawak memperkasa Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak (SRAS) dengan menaikkan had pendapatan kelayakan daripada RM4,556 kepada RM5,504 serta melanjutkan tempoh bantuan daripada 36 kepada 48 bulan mulai 2026.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Abdul Yakub Arbi berkata, peluasan manfaat itu membuktikan dasar SRAS sentiasa responsif terhadap perubahan dan keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang menyewa rumah atau bilik.
Menurutnya, transformasi digital menerusi pelaksanaan Sistem Permohonan dan Pemantauan SRAS pula dijangka meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian skim berkenaan kepada rakyat.
“Nilai sebenar sistem ini bukan sekadar pada teknologi yang digunakan, tetapi sejauh mana teknologi tersebut dapat memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kecekapan penyampaian bantuan.
“Rakyat mahu proses yang jelas, urusan yang mudah dan permohonan mereka dikendalikan dengan cekap dan telus,” ujarnya dalam ucapan aluan pada majlis perasmian Pelancaran Langsung SRAS: Transformasi Digital Skim Bantuan Sewa Kediaman Sarawak di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau berkata, SRAS merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak yang memberikan sokongan secara langsung kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya mereka yang menyewa rumah atau bilik.
Katanya, skim itu diperkenalkan pada 2021 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi membantu meringankan beban sewaan kediaman dan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Pada peringkat awal, bantuan sebanyak RM200 sebulan diberikan sehingga tempoh 36 bulan. Namun, dasar yang baik ialah dasar yang sentiasa responsif terhadap perubahan keperluan rakyat,” jelasnya.
Abdul Yakub berkata, liputan skim itu turut diperluaskan kepada 10 kawasan di seluruh Sarawak pada tahun ini.
Menurutnya, sehingga Julai 2026, seramai 7,717 penyewa telah menerima manfaat SRAS dengan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM52.4 juta.
“Angka ini menunjukkan bahawa SRAS bukan sekadar sebuah skim di atas kertas, sebaliknya bantuan yang benar-benar sampai kepada rakyat.
“Di sebalik jumlah tersebut terdapat keluarga dan individu yang dapat menggunakan bantuan ini untuk mengurangkan beban sewaan dan meneruskan kehidupan dengan sedikit ruang kewangan yang lebih baik,” jelasnya.
Beliau berkata, peningkatan jumlah penerima dan pelaksanaan skim yang semakin kompleks memerlukan sistem yang lebih tersusun, cekap dan bersepadu.
Katanya, menerusi Sistem Permohonan dan Pemantauan SRAS, proses permohonan, semakan, pengurusan maklumat, pemantauan dan pelaporan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.
“Ia bukan noktah, tetapi permulaan kepada penambahbaikan. Maklum balas daripada rakyat, pegawai pelaksana dan semua pihak berkepentingan perlu terus diambil kira bagi memastikan sistem ini sentiasa relevan, mudah digunakan dan mampu memenuhi keperluan semasa,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan data, ketepatan maklumat dan tadbir urus yang baik bagi memastikan sistem berkenaan berfungsi secara optimum.
“Saya percaya melalui kerjasama antara MPHLG, HDC, Unimas, pihak teknikal dan semua agensi berkaitan, sistem ini akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat Sarawak.
“Kita mahu setiap usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan membawa satu mesej yang jelas kepada rakyat, kerajaan Sarawak sentiasa prihatin, sentiasa mendengar dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk membantu rakyat,” katanya.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Turut hadir Ketua Bahagian Perumahan, Teknikal dan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak dan Tribunal Pengurusan Strata Durie Austine Tinggie, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Jamilah Bujang dan Timbalan Pengarah Bahagian Strategi Pusat Digital Unimas Flora Intai.
Oleh Akun Giman




