
LONDON: Tottenham Hotspur memecat ketua jurulatih Thomas Frank selepas kurang lapan bulan mengemudi pasukan susulan kekalahan 2-1 kepada Newcastle, awal pagi tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Spurs kini di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya lima mata di atas zon penyingkiran serta tanpa kemenangan dalam lapan aksi liga terakhir – rekod terburuk sejak 2008.
Frank, 52, yang dilantik pada Jun 2025 menggantikan Ange Postecoglou, hanya meraih tujuh kemenangan daripada 26 perlawanan liga musim ini, selain tersingkir dalam kedua-dua saingan piala domestik.
Walaupun berjaya membawa Spurs ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, prestasi hambar liga memaksa lembaga pengarah membuat perubahan segera.
Frank sebelum ini yakin mampu mengubah keadaan meskipun penyokong mendesak beliau dipecat.
Ini kali ketujuh pengurus EPL kehilangan jawatan musim ini. – AFP