Mathys Tel menjaringkan gol sebelum menghadiahkan penalti ketika Tottenham seri 1-1 dengan Leeds dalam aksi EPL. Foto AFP
LONDON: Tottenham Hotspur terus berada dalam keadaan getir dalam perebutan mengelak penyingkiran selepas seri 1-1 dengan Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.
Mathys Tel terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pembukaan pada awal babak kedua, namun pemain muda Perancis itu kemudian menjadi punca Leeds menyamakan kedudukan selepas menghadiahkan penalti susulan terjahan berbahaya ke atas Ethan Ampadu.
Dominic Calvert-Lewin tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Spurs bernasib baik tidak tewas apabila penjaga gol Antonin Kinsky melakukan aksi menyelamat luar biasa pada penghujung permainan untuk menafikan percubaan Sean Longstaff.
Keputusan itu menyaksikan Tottenham kini hanya dua mata di atas West Ham United di tangga ke-18 dengan baki dua perlawanan musim ini.
Pengendali Spurs, Roberto De Zerbi menegaskan pasukannya akan terus berjuang habis-habisan demi kekal dalam EPL. – AFP