
Aston Villa’s Emiliano Buendia (kiri) meraikan jaringannya menentang Tottenham.Foto AFP
LONDON: Morgan Rogers dan Emiliano Buendia menjadi inspirasi kebangkitan Aston Villa apabila menang 2-1 ke atas Tottenham sebentar tadi, ketika skuad utara London itu terus dirundung malang di laman sendiri.
Rodrigo Bentancur meletakkan pasukan bimbingan Thomas Frank itu di hadapan pada separuh masa pertama di Stadium Tottenham Hotspur.
Namun, Rogers menyamakan kedudukan dengan rembatan hebat sebelum rehat, dan Buendia yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan pada lewat perlawanan.
Prestasi hambar Tottenham di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana – 11 kekalahan dan hanya tiga kemenangan dalam 18 perlawanan liga – kekal menjadi isu besar buat Frank sejak menggantikan Ange Postecoglou yang dipecat pada pra-musim.
Walaupun kebanyakan kekalahan itu berlaku di bawah Postecoglou musim lalu, tempoh singkat Frank juga menunjukkan keputusan tidak menentu di stadium berkapasiti 62,000 itu, termasuk disambut dengan laungan ‘boo’ selepas kekalahan kepada Bournemouth pada Ogos dan seri 1-1 menentang Wolves bulan lalu.
Kekalahan yang menamatkan rekod tanpa kalah Tottenham dalam tujuh perlawanan di semua kejohanan itu menyaksikan mereka jatuh ke tangga keenam, selepas dua kekalahan dalam lapan aksi liga di bawah Frank.
Villa pula bangkit daripada permulaan musim terburuk sejak 1964 dengan lima kemenangan berturut-turut – tiga dalam Liga Perdana dan dua di Liga Europa – menjadikan mereka kini tanpa kalah dalam lapan perlawanan.
Lebih manis, kemenangan ini menandakan kali pertama Villa menewaskan pasukan kelompok empat teratas di tempat lawan, selepas hanya meraih satu mata daripada enam kunjungan ke kelab Liga Juara-Juara England musim lalu.
Pasukan bimbingan Unai Emery kini naik ke tangga ke-10 ketika mereka berusaha kembali ke persaingan merebut tiket Liga Juara-Juara.
Tottenham yang sedia kehilangan James Maddison, Dejan Kulusevski, Yves Bissouma, Destiny Udogie dan Dominic Solanke akibat kecederaan, menerima tamparan lagi apabila kapten Cristian Romero turut cedera semasa memanaskan badan.
Namun, mereka hanya memerlukan lima minit untuk membuka jaringan.
Umpanan silang Mohammed Kudus ditanduk Micky van de Ven ke arah Bentancur, yang menyempurnakan sepakan kemas menewaskan Emiliano Martinez dari jarak lapan ela.
Bentancur meraikan gol itu dengan meletakkan bola di bawah jersinya sebagai tanda penghormatan kepada isterinya yang sedang mengandung anak kedua mereka.
Pertahanan Villa, Matty Cash, nyaris menjaringkan gol apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sedikit tersasar, sementara penjaga gol Villa, Martinez, menafikan percubaan rendah Wilson Odobert.
Namun, Rogers menyamakan kedudukan secara menakjubkan pada minit ke-37.
Gol pertamanya musim ini benar-benar berbaloi untuk dinantikan — rembatan padu dari jarak 20 ela yang menewaskan Guglielmo Vicario dengan lengkungan cantik ke sudut atas gawang.
Tottenham berusaha kembali menguasai permainan selepas rehat, namun percubaan Odobert disekat Ezri Konsa sebelum Martinez menafikan Joao Palhinha.
Masalah Tottenham bertambah apabila penyerang Mathys Tel terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan lutut.
Villa memanfaatkan keadaan itu sepenuhnya pada minit ke-77.
Hantaran silang Cash menemui Lucas Digne, yang menghantar bola kepada Buendia untuk melepaskan rembatan leret menewaskan Vicario ke penjuru bawah gawang.
Randal Kolo Muani, yang membuat penampilan sulung di Liga Perdana bersama Tottenham selepas dipinjam dari Paris Saint-Germain, sepatutnya menyelamatkan satu mata di masa tambahan, tetapi gagal menyudahkan peluang terbuka apabila bola rembatannya melambung tinggi. – AFP