
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan ahli perniagaan Albert Tei, di rumahnya di Puchong, Selangor pagi tadi.
Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan berkata penahanan lelaki itu dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“SPRM juga ingin menafikan berlakunya situasi di mana pegawai suruhanjaya ini mengacukan senjata di kepala ahli perniagaan Albert Tei ketika tangkapan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berikutan itu, Azam berkata satu laporan polis telah dibuat hari ini bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit menjalankan siasatan atas fitnah yang dibuat terhadap pegawai SPRM berkenaan.
Beliau berkata laporan polis itu juga bagi memastikan tiada pihak tertentu menyebarkan sebarang berita tidak sahih yang berkemungkinan dengan niat bagi mengganggu siasatan SPRM.
Terdahulu, media melaporkan SPRM menyerbu dan menahan ahli perniagaan berkenaan di rumahnya di Puchong pagi tadi.
-Bernama