
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh pendekatan bersepadu dalam membanteras penyelewengan dana awam dan ketirisan perolehan kerajaan menerusi pelbagai inisiatif kerjasama rentas agensi yang sistematik dan menyeluruh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, antara keutamaan SPRM bagi tahun 2025 ialah mempertingkat pemantauan terhadap perolehan, penguatkuasaan, serta pembanterasan rasuah berskala besar atau ‘grand corruption’ di sektor berisiko tinggi.
“Penemuan berulang dalam Laporan Ketua Audit Negara jelas menunjukkan kelemahan kawalan dalaman yang membuka ruang kepada ketirisan, pelaburan tidak berimpak serta bayaran tanpa asas kontrak kukuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata SPRM juga memberi perhatian khusus kepada projek sakit dan terbengkalai yang memberi kesan ketara terhadap kestabilan kewangan negara.
Bagi menangani isu terbabit secara komprehensif, Azam berkata SPRM bersama enam agensi lain telah menubuhkan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) sebagai platform penyelarasan dalam memerangi jenayah kewangan.
Tujuh agensi yang menganggotai KKFP ialah SPRM, Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“KKFP menjadi simbol iltizam kolektif kita dalam memastikan akauntabiliti setiap sen dana negara, selain memantapkan tindakan bersama berasaskan kepakaran pelbagai agensi.
“Kita tidak boleh lagi melangkah dan bergerak secara terpisah, seolah-olah setiap agensi berlayar dalam kapal sendiri menuju destinasi yang kabur. KKFP ialah peta koordinasi itu yang menyatukan haluan dan memperkukuh pelayaran kita dalam menangani jenayah kewangan yang kian mencabar,” kata Azam.
Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM juga memainkan peranan aktif dalam Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara (JTLKAN) dengan mengambil tindakan susulan terhadap penemuan audit melibatkan kemungkinan wujudnya elemen rasuah dan salah guna kuasa.– Bernama