
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan rakaman percakapan, bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu, Khamis ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata sesi rakaman percakapan kali ini, mengenai pengisytiharan harta yang dibuat bekas Perdana Menteri itu kepada SPRM mengikut Seksyen 36 (1) Akta SPRM 2009.
“Datuk Seri Ismail Sabri dipanggil semula ke SPRM untuk meneruskan rakaman percakapan beliau,” katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-11 Tahun 2025 di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia, semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sementara itu mengenai isu pencerobohan tanah secara haram di Raub, Pahang, Azam berkata SPRM telah membuka kertas siasatan sejak 2021 dan akan meneruskan siasatan terhadap kesinambungan isu yang berlaku ketika ini.
“Saya telah pun mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan dan kita akan melihat dua perkara, iaitu isu rasuah mengenai bagaimana penerokaan haram itu berlaku dalam tempoh tertentu dan kedua berhubung tatakelola yang diamalkan di pejabat (daerah) dan Pejabat Tanah dan Galian,” katanya.
Pada 14 April, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan agar tanah di negeri berkenaan tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya dan tindakan sewajarnya harus dikenakan kepada mereka yang terbabit.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan di kebun durian di Raub menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat apabila pekebun didakwa menunjukkan ketidakpuasan hati kerana tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang juga menafikan melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April. – Bernama