
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus menerusi kenyataan hari ini berkata SPRM telah menjalankan siasatan awal berhubung perkara itu setelah menerima aduan daripada sebuah parti politik.
“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) juga telah memulakan proses penyiasatan secara serentak.
“Selain KPKT yang telah mengemukakan laporan penuh berhubung proses dan pemberian tender yang berkaitan, beberapa pihak yang terlibat turut memberi beberapa dokumen berkaitan projek itu,” katanya.
Zainul berkata dalam siasatan ini, SPRM akan memberi tumpuan kepada dua perkara, iaitu pengesanan sekiranya wujud amalan rasuah dan penyelewengan dalam proses tender.
“Tindakan penyiasatan dibuat berasaskan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.
Pada Mei lepas, KPKT menyerahkan dokumen berkaitan Projek MyKiosk kepada SPRM sebagai komitmen kementerian dalam memastikan ketelusan serta integriti projek berkenaan.
Menurut KPKT, semua perolehan serta pelantikan kontraktor MyKiosk telah dilaksanakan oleh 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sebut harga terbuka. – Bernama