
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu memanfaatkan platform kreatif seperti dokumentari, filem dan teater bagi memperluas pendekatan agensi itu dalam mendidik masyarakat mengenai pencegahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan memaklumkan pendidikan pencegahan rasuah menerusi pelbagai platform kreatif itu akan tertumpu kepada peranan SPRM dalam aspek penguatkuasaan, perolehan dan ketirisan dana awam.
Beliau berkata usaha mendidik masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan dan disebarluaskan secara kerap serta berulang supaya orang ramai sedar tentang peranan SPRM.
“Meskipun rakyat di negara ini semakin cakna dengan isu-isu rasuah, kita sebagai badan yang menguat kuasa undang-undang berkaitan rasuah perlu terus turun padang supaya kehadiran SPRM dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Azam berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM kali kedua 2025 di Genting Highlands, hari ini.
Azam turut menegaskan mengenai keperluan Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM mempergiat program pendidikan yang berimpak tinggi serta mendekati rakyat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan warga SPRM khususnya serta kerajaan amnya kerana memberinya kepercayaan sekali lagi untuk menerajui agensi itu.
Beliau juga menggesa seluruh warga kerja SPRM agar terus membudayakan nilai patriotisme dan taat setia selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 mengenai Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 21 Mac lepas.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Azmi Kamaruzaman, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Indera Junipah Wandi, pengarah-pengarah kanan dan pengarah SPRM dari seluruh negara. – Bernama