SPRM kesan lapan isu tambahan dalam siasatan RCI Tabung Haji

Facebook
WhatsApp
DATUK Seri Abd Halim Aman pada sidang media di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak.

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti lapan isu tambahan berkaitan pelaburan bermasalah selepas penelitian lanjut terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, penemuan itu membawa kepada pembukaan lapan kertas siasatan baharu, sekali gus menjadikan keseluruhan 14 kertas siasatan berkaitan RCI Tabung Haji.

Katanya, lapan isu tambahan itu membabitkan beberapa pelaburan dalam sektor perladangan, pembinaan, hartanah, perhotelan dan perkhidmatan kapal sokongan.

Antara pelaburan yang dikenal pasti ialah Deru Semangat Sdn Bhd, ABRAJ Sdn Bhd, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Rawdah Real Estate, Al-Faridah Residential Fund, Tabung Haji Properties Sdn Bhd, Tabung Haji Marine Sdn Bhd serta Tabung Haji Hotel and Residence.

“Penelitian terhadap rekomendasi, perjanjian, kontrak, minit mesyuarat dan apa juga keputusan berkaitan perkara tersebut perlu dilakukan dengan teliti.

“Dokumentasi tersebut adalah begitu banyak yang perlu dikaji dan dikenal pasti dan ia memerlukan penelitian yang khusus, di samping kepakaran dan kesabaran,” katanya pada sidang media di Kompleks Pejabat SPRM Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, SPRM telah menambah enam pegawai penyiasat bagi membantu siasatan terhadap lapan isu tambahan berkenaan.

Katanya, jumlah pegawai penyiasat berkenaan boleh ditambah lagi sekiranya diperlukan bagi memastikan siasatan dapat dilengkapkan dengan sempurna.

Dalam pada itu, Abd Halim berkata SPRM turut mempertimbangkan pelantikan pakar forensik dari luar bagi membantu penelitian terhadap dokumentasi dan bahan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.

Menurutnya, perbincangan mengenai pelantikan berkenaan masih dijalankan dan tertakluk kepada kos yang terlibat.

Beliau berkata, lapan isu tambahan itu berkemungkinan mengambil masa untuk disiasat berikutan jumlah dokumentasi yang banyak dan memerlukan penelitian terperinci.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan lakukan selain daripada kepakaran pegawai penyiasat yang kita ada,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud