Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • SPRM buka 156 kertas siasatan berprofil tinggi
  • NASIONAL

SPRM buka 156 kertas siasatan berprofil tinggi

Utusan Sarawak 2 years ago
Pengarah Kanan Bahagian Gerakan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Tan Kang Sai pada sesi temu bual bersama Bernama di Ibu Pejabat SPRM baru-baru ini. Lebih 60 peratus daripada 156 kertas siasatan (IP) membabitkan kes berprofil tinggi dan kepentingan awam yang dibuka Bahagian Gerakan Khas (BOK) SPRM antara 2020 dan 8 Jun tahun ini melibatkan ahli politik. Tan berkata, siasatan itu menghasilkan penahanan seramai 211 individu dengan 91 daripadanya dibawa ke mahkamah dan melibatkan 454 pertuduhan. FotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Lebih 60 peratus daripada 156 kertas siasatan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam yang dibuka oleh Bahagian Operasi Khas (BOK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari 2020 hingga 8 Jun lalu, adalah melibatkan ahli politik.

Pengarah Kanan BOK Datuk Tan Kang Sai berkata daripada jumlah itu, seramai 211 individu telah ditahan dengan 91 orang daripadanya dituduh di mahkamah membabitkan 454 pertuduhan.

“Dalam tempoh sama, SPRM turut menyita wang tunai sebanyak RM51,132,539, melucut hak harta dan wang tunai berjumlah RM10,465,873.39 serta mengeluarkan kompaun berjumlah RM128,968,750,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya mengendalikan siasatan melibatkan golongan berprofil tinggi dan kes berkepentingan awam mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya dalam menyiasat transaksi kewangan membabitkan bank dan institusi kewangan luar negara.

Beliau berkata, tugas menyiasat jejak kewangan menjadi sukar apabila wang berkenaan dipindahkan ke akaun di luar negara kerana  setiap negara mempunyai undang-undang berlainan bagi melindungi sistem perbankan mereka.

Menurutnya, bank dan institusi kewangan terlibat mempunyai hak untuk tidak bekerjasama dan tidak menyerahkan maklumat mengenai akaun yang disiasat.

“Berikutan itu, kita dapat lihat kebanyakan bukti berkaitan jejak kewangan yang dibawa ke mahkamah hanya melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan sahaja,” katanya.

Tan berkata antara kes berprofil tinggi berjaya disiasat oleh BOK termasuk Op Mitra, Op Hire dan Op Marii melibatkan penyalalahgunaan dana berjumlah ratusan juta ringgit yang disediakan oleh kerajaan bagi pembangunan masyarakat India, pekerja dan industri automotif negara.

Selain itu, katanya, antara cabaran lain turut dihadapi oleh BOK ialah apabila sesuatu kes disensasikan oleh pihak media dan ahli politik sebelum penyiasatan berjalan atau selesai menyebabkan pihak terlibat mengambil kesempatan menghapuskan dokumen-dokumen penting seperti transaksi kewangan, malah ada yang melarikan diri.

“Kecanggihan teknologi masa kini juga memberi cabarannya tersendiri iaitu transaksi kewangan boleh dilakukan dengan hanya menggunakan telefon bimbit melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan malah institusi kewangan luar negara.

“Berikutan cabaran ini, SPRM telah mengorak langkah untuk menggunakan tenaga pakar dalam bidang perakaunan, kejuruteraan dan undang-undang sebagai sebahagian daripada pasukan siasatan BOK untuk memastikan kertas siasatan yang dihasilkan lengkap dan kukuh untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Menurut Tan selain menggunakan khidmat pakar, pihaknya juga menggunakan kaedah Model Pengurusan Penyiasatan Berpasukan (MTI) bagi memastikan kertas siasatan dapat dilengkapkan dengan berkualiti dan efisyen.

Katanya, MTI mempunyai lapan peringkat iaitu yang pertama melibatkan menganalisis aduan dan hala tuju siasatan, siasatan awal, penyediaan perintah operasi dan pelaksanaan operasi.

“Seterusnya ia melibatkan proses semakan dan kolaborasi keterangan, penilaian dan pengukuhan keterangan, tindakan lanjut siasatan dan pengurusan akhir kertas siasatan,” katanya.

BOK merupakan bahagian siasatan khas SPRM yang ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes berprofil tinggi, kes berkepentingan awam dan keselamatan negara.

Ia ditubuhkan pada 2010 dan merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi SPRM bagi mencapai objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan kes-kes rasuah berskala besar, perolehan dan penguatkuasaan. – Bernama

Continue Reading

Previous: SPR adakan mesyuarat khas tentukan tarikh PRN enam negeri
Next: Penyedia perkhidmatan internet digesa patuhi AKM 1998

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.