KUCHING, 7 Oktober: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sarawak memperkukuh kerjasama menerusi kunjungan hormat SPR Sarawak kepada Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.
Menurut kenyataan JPNS, kunjungan itu menjadi platform bagi mengeratkan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara SPR Sarawak dan JPNS dalam perkara berkaitan kepentingan perkhidmatan awam dan masyarakat di Sarawak.

“Pertemuan ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh jaringan strategik antara agensi kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPNS turut merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi dapat terus diperkukuh pada masa akan datang.
Kunjungan hormat tersebut diketuai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak, Abang Noraffian Abang Ibrahim, bersama Timbalan Pengarah, Hamfatullah Syawal Hamdan dan Penolong Pengarah, Nurshaima Napis.
Oleh Masrin Affirah



