Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • SPR perlu bertindak cepat
  • KOLUMNIS

SPR perlu bertindak cepat

Utusan Sarawak 21 hours ago

KINI terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk ‘mengukur’ kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak bagi menambah 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu.

Ini setelah sidang Khas DUN Isnin lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia.

SPR perlu bertindak cepat, kerana menurut sumber, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kemungkinan mahu pilihan raya negeri (PRN) diadakan tahun depan.

Kali terakhir PRN Sarawak diadakan ialah pada 18 Disember 2021. Pada 18 Disember 2026, genap lima tahun tetapi tempoh kerajaan negeri pimpinan GPS sekarang akan berakhir pada 14 Februari 2027, berdasarkan kiraan mulai sidang DUN pertama selepas PRN ke-12 lalu yang diadakan pada 14 Februari 2022.

Ini bermakna, PRN boleh diadakan bila-bila masa antara sekarang hingga Februari 2027. Tetapi di bawah Perkara 21 (4) Perlembagaan Negeri Sarawak, memperuntukkan lanjutan selama 60 hari mesti diadakan pilihan raya daripada tarikh tamat tempoh DUN.

Bab ini diguna pakai pada PRN12 Disember 2021, setelah tempoh DUN berakhir pada 6 Jun 2021, berikutan penularan Covid-19. Namun dalam perlembagaan itu, sama ada Covid-19 atau tidak, itulah termaktub dalam peraturan.

Ini bermakna, PRN Sarawak akan datang boleh dipanjangkan sehingga Ogos 2027. Hakikatnya perkara ini jarang berlaku kecuali pada 2021. Malah jarang juga pilihan raya diadakan menghampiri tempoh tamat dan kebiasaannya diadakan beberapa bulan lebih awal.

Andai menunggu tempoh matang sehingga 2027, SPR masih ada masa untuk melengkapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya terutama bagi mewujudkan tambahan 27 kerusi DUN baharu seperti dicadang dan diluluskan pada sidang DUN Isnin lalu.

Tetapi jika benar GPS mahu mengadakan pilihan raya negeri tahun depan, SPR perlu bertindak segera. Ini termasuk meninjau kawasan baru dicadang, dipamerkan cadangan untuk cadangan/bantahan orang awam dan kemudian diwartakan.

KUASA SPR UNTUK SEMAK

Persempadanan terakhir diluluskan pada 2014 dan digunakan dalam PRN-11 pada 2016, menjadikan sudah hampir 11 tahun tanpa semakan semula dilakukan.

Kebiasaannya kajian itu adalah bagi setiap lat lapan tahun. Bagaimanapun, tidak pasti mengapa kelewatan itu berlaku, yang hanya boleh dijawab oleh SPR.

“Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan SPR mempercepatkan proses tersebut kerana mereka terikat dengan protokol dan prosedur ditetapkan.

“Apa yang kita luluskan di DUN hanyalah pengesahan jumlah kerusi. Keputusan seterusnya termasuk pelaksanaan persempadanan baharu terletak sepenuhnya kepada SPR,” kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada sidang media di Sarikei baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata kerajaan Sarawak akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR berhubung kelulusan RUU itu, namun tiada tempoh masa ditetapkan bagi SPR menyelesaikan proses persempadanan semula.

“Bahagian itu adalah urusan SPR. Saya tidak mengetahui sebarang tempoh masa yang telah ditetapkan. Tugas kita hanya untuk memaklumkan bahawa DUN telah meluluskan RUU berkenaan dan kini terpulang kepada SPR untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media selepas menggulung perbahasan itu di sidang DUN Isnin lalu.

“Trend kerusi baharu diwujudkan tertumpu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar sahaja,” – Violet Yong.

Namun dalam perbahasan di sidang DUN Isnin lalu, Violet Yong (DAP-Pending) berkata Sarawak sudah melalui lima pusingan pertambahan jumlah kerusi pada 1969, 1985, 1995, 2005, dan 2015 tetapi trend kerusi baharu diwujudkan tertumpu di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

“Kawasan seperti Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa lazimnya mempunyai tiga hingga empat kali ganda lebih banyak pengundi.

“Jurang perbezaan menjejaskan prinsip demokrasi ‘satu orang satu undi’,” katanya semasa membahas RUU itu pada sidang DUN Isnin lalu.

TUKAR KAEDAH ‘SEORANG SATU UNDI’

Kaedah ‘seorang satu undi’ (one man, one vote) bermaksud kedudukan kerusi dinilai berdasarkan jumlah pengundi, bukan keluasan kawasan Parlimen atau DUN apabila melakukan kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Inilah kaedah diguna pakai SPR sebelum ini. Jika kaedah ini terus dipakai, maka tiada tambahan wakil Ahli Parlimen atau ADUN dari kawasan luar bandar, sebab populasi kurang.

Sebaliknya, yang untung adalah kawasan bandar kerana jumlah penduduk padat dan inilah dimahukan oleh Violet Yong dan DAP.

Namun, SPR perlu menghayati kehendak dan desakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah, teliti setiap syor dan kaedah lama ‘one man, one vote’ tidak lagi boleh dipraktikkan di Bumi Kenyalang, begitu juga Sabah.

“Penambahan kerusi perlu ambil kira keluasan kawasan, bukan sekadar dari sudut bilangan pengundi,” – Datuk Len Talif Salleh.

Seperti kata Len Talif cadangan penambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 perlu dilihat bukan sekadar dari sudut bilangan pengundi tetapi juga mengambil kira keluasan kawasan dan keperluan asas yang perlu disediakan kepada penduduk.

“Sebagai contoh, kawasan seperti Padungan hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk merentasi dari hujung ke hujung. Tetapi di Kuala Rajang, kawasan yang saya wakili, perjalanan antara satu tempat ke tempat lain boleh mengambil masa beberapa jam,” katanya.

“Prinsip ‘satu orang satu undi’ tidak boleh diaplikasikan secara mutlak di Sarawak kerana faktor keluasan kawasan,” – Safiee Ahmad.

Ungkapan Safiee Ahmad (GPS-Daro) ketika perbahasan mengenai RUU itu tepat sekali apabila menyatakan prinsip ‘satu orang satu undi’ tidak boleh diaplikasikan secara mutlak di Sarawak kerana faktor keluasan kawasan seperti DUN Daro yang merangkumi tiga bahagian dan empat daerah.

“Mustahil untuk memberi perkhidmatan terbaik di kawasan luas luar bandar tanpa pertambahan wakil rakyat yang dapat mewakili rakyat secara lebih berkesan.

“Penamaan kawasan baharu juga harus mengambil kira sensitiviti tempatan dan kepelbagaian etnik, bahasa serta budaya di Sarawak,” katanya.

Oleh itu, apa yang diharapkan ialah SPR mempercepatkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dan tidak lagi menggunakan kaedah ‘satu orang satu undi’ dalam melaksanakan tugas itu.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: UPM Sarawak dalam 50 dekad

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.