SIBU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mempertimbangkan pewujudan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di bawah Parlimen Selangau yang dicadangkan dinamakan DUN Bukit Arip menerusi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak.
Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Christopher Gira Sambang berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan mengambil kira Parlimen Selangau mempunyai keluasan melebihi 9,000 kilometer persegi dengan jumlah penduduk dianggarkan lebih 80,000.
“Parlimen Selangau mempunyai 47,836 pengundi berdaftar iaitu 24,383 pengundi di DUN Tamin dan 23,453 pengundi di DUN Kakus.
“DUN Tamin pula merangkumi kira-kira 400 rumah panjang manakala DUN Kakus mempunyai kira-kira 350 rumah panjang, belum termasuk kampung dan penempatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gira yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, keadaan itu menjadikan Parlimen Selangau antara kawasan luar bandar yang luas dengan taburan penduduk berselerak, sekali gus memberi cabaran dari segi geografi, logistik dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata kerusi baharu itu boleh diwujudkan menerusi persempadanan semula sebahagian kawasan DUN Tamin dan DUN Kakus bagi memastikan penduduk mendapat perwakilan lebih seimbang serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih berkesan.
Menurutnya, cadangan berkenaan bukan berasaskan kepentingan politik sebaliknya mengambil kira kepentingan rakyat dan prinsip keadilan dalam sistem perwakilan.
“Dalam menentukan persempadanan baharu, faktor keluasan kawasan, taburan penduduk, jumlah rumah panjang, cabaran geografi dan logistik serta keperluan pembangunan luar bandar wajar diberikan pertimbangan yang sama penting dengan bilangan pengundi,” katanya.
Gira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin pada masa sama menyambut baik usaha SPR melaksanakan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya negeri Sarawak kerana ia selaras dengan pertambahan penduduk dan perkembangan pembangunan.
Bagaimanapun, beliau berkata Parlimen Selangau yang merangkumi DUN Tamin dan DUN Kakus tidak menerima pertambahan kerusi DUN dalam cadangan yang dipamerkan.
Sehubungan itu, beliau berharap SPR dapat meneliti cadangan pewujudan DUN Bukit Arip sepanjang tempoh pameran awam selain menggalakkan pemimpin masyarakat, ketua kaum, pertubuhan masyarakat dan penduduk Parlimen Selangau mengemukakan pandangan berhubung perkara itu.
Oleh Tarani Lanting




