
KUCHING: Komitmen berterusan Sports Toto terhadap pembangunan komuniti dan pencungkil bakat tempatan diterjemahkan sekali lagi apabila syarikat itu menyumbangkan tajaan berjumlah RM40,000 kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Tajaan tersebut adalah bagi merealisasikan penganjuran pertandingan Kuching Ada Bakat (KGT) 2025, sebuah acara yang dinanti-nantikan ramai sebagai platform utama mengetengahkan bakat seni tempatan dalam Festival Kuching 2025.
Majlis penyerahan tajaan berlangsung di Bilik Mesyuarat, Aras 3A, Bangunan MBKS dengan simbolik penyerahan cek oleh Pengurus Komunikasi Luaran, Jabatan Komunikasi dan Kelestarian STM Lottery Sdn. Bhd. (Sports Toto), Encik Yip Bing Tsong, kepada Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng.
Menurut Datuk Wee Hong Seng, tajaan daripada Sports Toto membolehkan acara yang kini memasuki edisi ke-11 itu diteruskan sebagai sebuah platform penting untuk mengetengahkan bakat seni serta persembahan masyarakat daripada pelbagai lapisan di Kuching.
“Kuching Ada Bakat bukan sahaja acara hiburan, malah satu wadah untuk mencungkil kreativiti, menyemai semangat kesatuan dan memperkukuh pembangunan belia di bandar raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media penyerahan tajaan bagi Kuching Ada Bakat daripada Sports Toto kepada MBKS, hari ini.
Tambah beliau, edisi 2025 menyaksikan sambutan amat menggalakkan dengan 160 penyertaan melibatkan sekitar 220 peserta yang bertanding dalam empat kategori utama iaitu Nyanyian (12 tahun ke bawah), Nyanyian (13 tahun ke atas), Tarian dan Bakat Lain.
Daripada jumlah itu, seramai 61 peserta telah disenarai pendek untuk ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 9 Ogos 2025 di Teater MBKS, manakala 35 peserta terbaik akan mara ke peringkat akhir pada 10 Ogos 2025 di Pentasan Festival Kuching.
Kategori akhir pertandingan ini merangkumi 10 finalis bagi kategori Nyanyian (12 tahun ke bawah), 10 finalis bagi kategori Nyanyian (13 tahun ke atas), 10 kumpulan bagi kategori Tarian, serta 5 penyertaan bagi kategori Bakat Lain.
Dato Wee turut menzahirkan penghargaan kepada Sports Toto yang telah menjadi rakan strategik MBKS sejak lebih 30 tahun, menyokong pelbagai program berbentuk komuniti, penyertaan belia dan pembangunan budaya.
“Sumbangan ini bukan sekadar dalam bentuk kewangan, malah satu pelaburan dalam masyarakat kita dengan satu sokongan terhadap impian anak muda yang bercita-cita besar,” katanya.
Beliau juga mengajak seluruh warga Kuching untuk hadir memberi sokongan pada peringkat separuh akhir dan akhir kelak, serta menyaksikan sendiri kehebatan bakat tempatan.
Hadiah ditawarkan kepada para pemenang termasuk wang tunai sehingga RM3,000 serta trofi, di samping hadiah sagu hati untuk peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir.
KGT 2025 dianjurkan sepenuhnya oleh MBKS dan menjadi antara acara utama yang dinanti-nantikan dalam Kuching Festival Fair 2025, dengan slogan khas ‘Siapa Ada Bakat, Tunjukkan!’.
Oleh Shikin Mahmud