
KAJANG: Kohort pertama pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa melalui peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membuktikan daya tahan tinggi apabila mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan itu tahun lepas, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata generasi berkenaan, yang sering menjadi perhatian kerana tidak melalui sistem peperiksaan berpusat di peringkat awal, berjaya mengharungi pelbagai cabaran termasuk gangguan pembelajaran semasa pandemik COVID-19.
“Saya ingat ini kohort ataupun satu generasi anak-anak yang sentiasa dibincangkan kerana mereka tidak ada sebarang peperiksaan sebelum itu.
“Kita mengambil sikap lebih positif melihat kepada apa sedang berlaku dalam konteks pendidikan negara khususnya apabila mereka ini dengan keputusan ini telah membuktikan bahawa mereka adalah satu generasi ataupun kohort anak-anak yang ada daya tahan cukup tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengumuman keputusan SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang di sini hari ini.
Fadhlina berkata kejayaan itu turut mencerminkan keberkesanan intervensi serta sokongan berterusan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak sekolah.
“Mereka telah mengharungi pelbagai ujian termasuk COVID-19 dan hari ini mereka membuktikan bahawa daya tahan mereka itu adalah sangat tinggi di samping sokongan daripada semua intervensi yang kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata pengalaman berdepan cabaran tersebut telah membentuk kekuatan pelajar untuk mencapai keputusan yang baik dalam SPM.
“Secara keseluruhannya mereka membuktikan bahawa ujian-ujian sebelum ini telah memberikan satu kekuatan kepada mereka untuk mendapat keputusan yang sangat baik pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina berkata pihaknya akan terus memperkukuh intervensi bagi menangani isu ketidakhadiran serta memperkasakan sistem sokongan kepada calon SPM.
Beliau berkata antara fokus utama ialah memastikan kehadiran pelajar, menyediakan sokongan sosial ekonomi serta memperkukuh bantuan akademik melalui pelbagai inisiatif termasuk program tuisyen dan ziarah cakna.
“Masih ada perkara yang perlu diambil perhatian serius oleh semua peringkat. Sebab itu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah serta sekolah, kita arahkan ada satu pendekatan akauntabiliiti di peringkat pengaturan untuk memastikan soal kehadiran.
“Untuk tahun ini kita ada beberapa langkah lagi yang sedang dilihat dan dikenal pasti untuk menangani isu kehadiran terkait rapat dengan SPM ini,” katanya.
Keputusan peperiksaan SPM 2025 yang diumumkan hari ini mencatatkan pencapaian terbaik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata sebanyak 366,435 calon atau 94.29 peratus layak diberikan sijil SPM pada 2025 berbanding 355,933 calon pada 2024.
Beliau turut memaklumkan seramai 5,032 daripada 413,299 calon tidak hadir menduduki peperiksaan itu dengan pelbagai faktor dikenal pasti antaranya bekerja, berpindah ke luar negara, kemalangan, masalah keluarga, isu kesihatan, kekangan pengangkutan, meninggal dunia serta ditahan pihak berkuasa. – Bernama