
Dato Sri Roland Sagah Wee Inn
KUCHING: Sarawak mencatat pencapaian membanggakan apabila Gred Purata Negeri (GPN) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 meningkat kepada 4.84 berbanding 4.92 pada tahun sebelumnya.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata ia merupakan rekod terbaik sejak mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dijadikan subjek wajib lulus pada 2013.
Katanya, peningkatan ini mencerminkan kejayaan pelbagai inisiatif dan usaha berterusan dalam memperkasa sistem pendidikan negeri.
“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat antara guru, ibu bapa, serta komuniti setempat dalam memastikan calon-calon SPM bersedia sepenuhnya,” katanya pada satu sidang media, hari ini.
Roland turut memaklumkan, pencapaian calon dari kawasan luar bandar dan bandar turut menunjukkan perkembangan positif, dengan masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 0.07 dan 0.08 mata.
“Daripada 32,239 calon sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) di Sarawak, seramai 30,341 calon (94.11 peratus) layak memperoleh sijil SPM, menunjukkan peningkatan hampir satu peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak 28 sekolah mencatat kelayakan 100 peratus layak sijil, peningkatan berbanding 19 sekolah pada 2023.
Antara yang mencuri tumpuan ialah SMK Long Bedian, Baram yang pertama kali menjadi pusat peperiksaan SPM dan mencatat keputusan cemerlang, termasuk seorang calon memperoleh semua A.
Sebanyak 821 calon atau 2.55 peratus memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.
Bagi mata pelajaran teras, Bahasa Inggeris mencatat peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 0.18 mata. Subjek STEM juga menunjukkan trend positif, dengan Kimia mencatat lonjakan tertinggi sebanyak 0.40 mata, diikuti Fizik, Biologi, dan Matematik Tambahan.
Sementara itu, bagi calon berkeperluan pendidikan khas, seramai 67.72 peratus daripada 127 calon berjaya memperoleh sijil SPM — peningkatan 1.87 peratus berbanding tahun lalu.
Mengakhiri sidang media, Roland menggesa para pelajar agar terus menjadi kebanggaan Sarawak serta menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas dedikasi mereka.
“Tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan peperiksaan SPM 2024.
“Semoga kejayaan ini menjadi pencetus kepada pencapaian lebih gemilang pada masa hadapan,” ujarnya.
Oleh Amanda L.