
SARATOK: Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Kampung Hulu telah diluluskan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian tanah susur di tebing Sungai Krian dekat Kampung Melango, Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, berkata pelaksanaan SPK tersebut amat penting dan diharap dapat dijalankan secepat mungkin bagi menjamin keselamatan serta kebajikan penduduk yang terkesan.
“Saya telah mohon dan Alhamdulillah SPK di Kampung Hulu telah diluluskan. Diharap skim ini dapat dilaksanakan segera kerana banyak rumah kediaman sepanjang tebing Sungai Krian dekat Kampung Melango mengalami hakisan dan mendapan tanah yang boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan ke rumah kediaman Rosna Sai di Kampung Melango Baru, yang terletak di tebing Sungai Krian. Kediaman keluarga berkenaan dilaporkan rosak teruk akibat kejadian tanah susur baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong; Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kawasan Kampung Melango.
Menurut Mohamad Duri, Pejabat Daerah Saratok telah mengusahakan pembinaan rumah baharu untuk keluarga Rosna melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah peruntukan bencana.
Katanya lagi, laporan daripada penghulu mendapati terdapat 22 rumah lain di sepanjang tebing Sungai Krian dekat Kampung Melango yang turut mengalami hakisan dan memerlukan penempatan semula.

“Saya mohon pihak JPS dapat melaksanakan tindakan segera bagi mengelakkan hakisan terus berlaku. Keadaan yang tidak selamat ini amat merisaukan penduduk yang terjejas,” tambah beliau.
SPK Kampung Hulu dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tinggi di tebing Sungai Krian dekat Kampung Melango.
Oleh Adi Safarman