BETONG: Pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong terus dipacu menerusi penyelarasan strategik bersama agensi pelaksana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap perancangan fizikal dapat dipercepatkan, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah memperincikan statistik serta laporan permohonan pertapakan projek, di samping mengenal pasti sebarang isu teknikal yang boleh menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan.
”Kerjasama erat antara Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC/BDC), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta seluruh agensi pelaksana amat penting bagi memastikan segala isu pertapakan diselesaikan segera.
”Sinergi ini penting supaya projek pembangunan yang dirancang dapat diteruskan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat di kawasan DUN Kabong,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbincangan Menerusi Laporan Statistik Permohonan Pertapakan Projek BDDA dan RTP DUN Kabong Bersama Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong di sini, semalam.
Hadir sama Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup, Pengurus Projek BDC Petrus Romilus, Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan BDC Annuar Firdaus Abdullah, Eksekutif LCDA Matthias Lawrence serta ketua-ketua seksyen JTS Betong.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan fizikal projek perumahan, beliau memberitahu, Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kabong di bawah LCDA merangkumi 75 unit rumah kini mencatatkan kemajuan fizikal 72 peratus sehingga 25 Julai lalu, dengan 38 unit telah siap sepenuhnya.
Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang November depan.
Manakala bagi projek pembangunan BDC yang melibatkan 58 lot bagi tempoh pelaksanaan 24 bulan, sebanyak 17 lot dikenal pasti mempunyai struktur sedia ada.
Mengenai status permohonan pertapakan BDDA di DUN Kabong sehingga 30 Julai lalu, sebanyak 37 permohonan telah direkodkan.
Daripada jumlah tersebut, 15 permohonan telah selesai diproses, dengan 10 daripadanya diluluskan. Tiga permohonan masih memerlukan maklumat tambahan, dua telah dikemukakan ke Ibu Pejabat, manakala 22 lagi masih menunggu penyerahan dokumen daripada agensi pelaksana.
Bagi prestasi projek RTP DUN Kabong bagi tempoh 2019 hingga 2026, rekod menunjukkan pencapaian cemerlang apabila kesemua 32 permohonan pertapakan telah selesai diproses dan mendapat kelulusan penuh tanpa sebarang isu tertangguh.
Dalam pada itu, sesi perbincangan berkenaan turut memperincikan isu penempatan semula dan pampasan bagi SPK Hulu Kabong Fasa 1.
Keputusan Premier Sarawak telah menetapkan bahawa struktur kediaman sedia ada yang berada dalam kawasan tapak projek BDC, LCDA dan JTS akan dirobohkan serta diberi pampasan mengikut ketetapan rasmi.
Bagi pemilik lot yang menghadapi kesukaran melepasi syarat kelayakan pinjaman perumahan, kemudahan pembiayaan akan dibantu menerusi Mutiara Mortgage Sdn Bhd.
Bagi memastikan proses penempatan semula berjalan lancar dan tersusun, JTS bersama agensi berkaitan akan mengadakan sesi libat urus secara mendalam bersama pemilik lot terlibat dalam masa terdekat.
Pada majlis yang sama, Chee Kadir turut menyampaikan sumbangan geran kerajaan Sarawak berjumlah RM15,000 kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan jabatan berkenaan.
Oleh Adi Safarman





