
BUENOS AIRES: Para saintis di Argentina telah menemui fosil salah satu spesies dinosaur tertua di dunia di Pergunungan Andes, menurut kenyataan agensi penyelidikan CONICET pada Rabu.
Pasukan paleontologi yang diketuai oleh institut tersebut menemui rangka hampir lengkap seekor reptilia kecil berleher panjang, yang dinamakan Huayracursor Jaguensis, pada ketinggian 3,000 meter (9,842 kaki) di kawasan barat laut Argentina.

Penemuan itu merangkumi sebahagian tengkorak, turus vertebra lengkap hingga ke ekor, serta anggota hadapan dan belakang yang hampir sempurna, menurut CONICET.
Penemuan tersebut telah diterbitkan dalam jurnal Nature, dengan para penyelidik menyatakan bahawa ia berpotensi menyumbang kepada pemahaman lebih mendalam dalam kajian evolusi.
Salah seorang penulis kajian, Agustin Martinelli, berkata Huayracursor dianggarkan hidup antara 230 hingga 225 juta tahun lalu, menjadikannya antara spesies dinosaur tertua yang pernah dikenal pasti.

Menurut penyelidik, spesies ini hidup pada penghujung zaman Trias, tempoh kemunculan dinosaur pertama dan nenek moyang mamalia.
Meskipun tergolong dalam garis keturunan dinosaur herbivor yang turut merangkumi spesies gergasi berleher panjang, Huayracursor Jaguensis dewasa hanya berukuran kira-kira dua meter panjang dan dianggarkan seberat 18 kilogram (40 paun). – AFP