Oleh: Roslan Jomel
TIADA sesiapa berhak untuk menentukan sebarang tema penulisan ke atas mana-mana pengarang. Melainkan penetapan yang disyaratkan oleh penganjur sayembara. Tema sesebuah karya merupakan suatu emosi khusus yang menjadi milik peribadi buat pengarang kreatif. Ia bagaikan nyawa yang menghidupkan struktur cerita dan organ dalaman untuk memberikan denyutan nadi dalam sesebuah naskhah. Tiada sebuah karya tanpa mengangkat sebarang tema, walau selicik bagaimanapun seseorang penulis itu mengelakkannya. Seorang pengarang bebas lebih selesa untuk menulis sesebuah tema yang telah merenggut jiwa seninya. Tema yang difokuskan itu dikaji dan diterokai secara mendalam dan serius. Secara tidak langsung, seseorang pengarang itu lebih jujur dan sedar arah penulisan dengan tema yang mempengaruhi ilhamnya. Hal itu mustahak untuk peneguhan jati diri sebagai seorang pengarang. Bukan dibuat-buat atau terikut-ikut dengan senario penulisan semasa yang tidak pun mencapai kepiawaiannya. Jangan menjadi seorang penulis salin dan tampal.
Tema bukan hal subjektif. Buku Sejarah Kesusasteraan Melayu, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, dalam Bab Cerpen (halaman 104-105), tema ditakrifkan sebagai apa yang mahu ditemui dan akan ditemui pada sesebuah cerpen, tidak lain daripada penggarapan penulis tentang persoalan yang pelbagai: pendedahan berbagai-bagai kepincangan, mengupas berbagai-bagai masalah dengan tujuan untuk menyampaikan sesuatu yang dirasakan cukup mempunyai kepentingan pada suatu ketika, masalah dan dasawarsa tertentu. Maka dengan itu, sebagai salah satu cabang seni sastera kreatif, cerpen sering dianggap sebagai salah satu alat penyaluran fikiran manusia, malah ia menjadi lebih penting sebagai ciptaan yang mencerminkan kehidupan masyarakat dalam sesuatu zaman. Dalam perkiraan ini, cerpen amat ketara telah mengambil bentuk kritik masyarakat. Suasana penulis sebenarnya telah dibelenggu oleh perasaan keburukan dan kejelikan. Para penulis menjadi amat sensitif terhadap riak dan masalah yang mencabar masyarakatnya sendiri.
Secara ketara, naskhah “Saat Bumi Berhari Raya” hasil nukilan Abu Adil yang disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera pada 11 Januari 2023 lalu, merupakan karya kreatif berbentuk satira. Pertukangan dalam naskhah itu sangat sederhana dan simplistik. Tiada unsur dan pemikiran yang baharu untuk dipersembahkan oleh pengarang naskhah. Malahan sudah terlalu basi.
Persoalan demikian diaplikasikan oleh ramai pengarang dalam usaha untuk menyampaikan mesej penting dan kesedaran kepada manusia agar jangan semberono merosakkan alam semula jadi. Sama ada secara berterus-terang (radikal) atau berlapik, sesebuah karya dengan tema sebesar itu, mudah untuk difahami oleh pembaca masa kini yang sudah mula cakna betapa mustahaknya kelestarian alam semula jadi untuk kehidupan manusia pada masa depan. Namun, tidak ada salahnya untuk terus mengingatkan kepada masyarakat, agar tidak memandang enteng akan setiap kehancuran yang dilakukan. Pilihan tema oleh pengarang tetap dipuji kerana kepentingan mesej kemasyarakatannya.
Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan definisi satira sebagai karya (prosa atau puisi) yang mempersendakan atau menyindir orang dan lain-lain. Sejauh manakah lesen untuk bersatira dalam bidang kesenian atau kreativiti dibenarkan? Adakah memang ada sempadan moral, budaya dan agama sebagai lampu merah untuk berhenti? Firdaus Mul dalam ruangan Reaksi yang terbit di portal JendelaDBP, bertarikh 9 Mei 2022, memperingatkan kepada golongan karyawan, “Satira bukanlah suatu pemikiran atau alat penghasilan karya yang boleh digunakan sesuka hati untuk melanggar etika. Walaupun secara asas pembinaan konseptualnya, pengkarya diberikan kebebasan untuk berkarya, namun terdapat beberapa had keterbatasan yang perlu diperakui.”
Gaya bercerita yang popular itu menjadi pilihan Abu Adil untuk membina naskhahnya. Sebagai masyarakat timur dan pengarang yang maklum tentang batasan dalam menghasilkan karya kreatif berbentuk satira, Abu Adil tidak berlebih-lebihan dalam menyampaikan amanat. Namun begitu, pesannya masih kedengaran pedas. Memang begitulah selalunya nada pengarang dalam karya berbentuk satira agar terasa lebih menyengat dan efektif. Dalam kes ini, teringat novel Animal Farm, tulisan George Orwell. Penghuni di muka bumi, sama ada unggas malahan pohon, diberikan hak untuk bersuara. Bahkan Pipit cemas melihat kemusnahan di depan matanya akibat ketamakan manusia: “Manusia durjana, habis rumahku ditebang malah dibakar. Mujur, semua ahli keluargaku selamat.” Bukan burung spesies pipit sahaja yang dicengkam kecemasan akibat aktiviti pembalakan, bahkan hidup menjadi semakin tidak selamat kepada sesiapa sahaja di kawasan yang menjadi sasaran para kapitalis.
Tumpuan utama dalam naskhah “Saat Bumi Berhari Raya” ialah, masih lagi tentang aktiviti pembalakan. Para pengarang tempatan memang gemar menyorot isu pembalakan yang semakin berleluasa dari dahulu lagi. Bahkan telah terbit buku bertajuk Money Logging: On the Trail of the Asian Timber Mafia tulisan Lukas Straumann yang memberi perhatian tentang isu yang sama dikemukakan oleh pengarang naskhah “Saat Bumi Berhari Raya”. Berbeza daripada buku yang disebutkan tadi, naskhah karangan Abu Adil lebih bersifat imaginatif, fiksyen tetapi dalam dunia khayalan itu, tetaplah benar insiden yang berlaku sebagaimana dirakamkan oleh pengarang. Penebangan pokok-pokok dilakukan oleh pihak pemaju untuk membina projek-projek, semakin lama semakin menghapuskan kawasan hijau. Impak daripada aktiviti itu memang amat menyakitkan kepada para penghuni di kawasan terbabit.
Walaupun baik maksud pengarang menerusi naskhah dihasilkan, ada kekhilafan yang dilakukannya secara tidak sengaja atau di luar kawalan. Perenggan yang berbunyi “Sudah berapa banyak bencana alam telah direncanakannya bersama Tuhan untuk menghukum manusia selama beratus tahun.” Ungkapan demikian adalah salah jika bersabit dengan sifat dan kekuasaan Tuhan. Istilah “bersama” itu kedengarannya janggal. Tuhan tidak perlukan makhluk dalam menguruskan alam semesta. Konsep Tuhan dan makhluk perlu dimengerti terlebih dahulu supaya kita sedar batasan antara insan dan Tuhan dengan benar. Tuhan pencipta alam dan pentadbir yang Maha Berkuasa, waima sehelai daun pun yang jatuh dari pokok ke bumi, tidak luput daripada pengetahuan-Nya.
Terbukti kesan daripada aktiviti pembalakan yang tidak terbatas akhirnya menyebabkan ekosistem dan alam semula jadi menjadi kucar-kacir. Banjir besar memerangkap dan melumpuhkan penduduk-penduduknya. Kemusnahan yang dilakukan oleh manusia terhadap Gunung Serapi dan penghuninya tidak boleh dimaafkan. Alam perlu juga melawan untuk menunjukkan siapakah yang berkuasa sebenarnya. Kejadian gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, kepala air, ais mencair di Kutub Utara dan perubahan cuaca, jelas membuktikan bahawa, tangan manusialah yang menjadi dalang kepada siri kerosakan alam semula jadi. Spesies bernama manusia memang kompleks dan sukar dijangka. Mereka sangat mudah dirangsang oleh kebendaan. Tidak mudah berasa puas dan bersyukur dengan kelebihan yang ada. Malahan mahukan lebih daripada orang lain agar terlihat hebat.
Tuhan telah berfirman dalam al-Quran dalam Surah al-Syu’ara, ayat 30, yang bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” Namun sifat manusia yang tamak dan haloba serta tidak amanah dengan nikmat yang diberikan oleh Tuhan, dengan secara sengaja telah merosak dan menghancurkan sistem aturan alam sekitar, yang kemudiannya menjemput kesukaran dan bala bencana di kemudian hari.
Ketika itu berlaku, siapakah yang paling menanggung kesannya, jika bukan makhluk yang tidak berdaya? Sekali lagi Tuhan mengingatkan dalam al-Quran, Surah al-Rum, ayat 41, yang bermaksud: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian), kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya kembali (insaf dan bertaubat).”
Pengarang merakam kesan daripada perubahan cuaca yang mengakibatkan gunung telah rata ke bumi, bandar-bandar ditenggelami limpahan air, kehidupan manusia yang dahulunya maju dan bertamadun, kini luput daripada pandangan (bagaikan lautan) dan hujan turun bagaikan tiada hentinya. Fenomena sebegitu bukan imaginasi dan fiksyen lagi, memang telah berlaku di mana-mana dalam dunia kebelakangan ini. Bahkan di kota Mekah pun turut dilanda kejadian banjir. Adakah gejala kerosakan dan kemusnahan alam semula jadi yang dilakukan oleh tangan manusia akan berhenti selepas teruk mengalami kerugian?
Abu Adil mempercepatkan masa dan mengubah suasana pada bahagian akhir naskhahnya. Bahagian itu (adegan ala disopia) sangat menarik. Kononnya para spesies bernama manusia telah bermigrasi ke planet lain. Lantaran itu, segala aktiviti merosakkan alam semula jadi yang selalu dikaitkan dengan tingkah laku spesies manusia, sudah tentu berkurangan. Segala makhluk lain ciptaan Tuhan, berasa aman dan selamat untuk meneruskan kehidupan masing-masing di muka bumi. Langit kembali cerah dan ekosistem kembali tersusun sebagaimana telah diaturkan oleh Tuhan. Mak Wo, satu-satunya watak manusia dalam naskhah “Saat Bumi Berhari Raya,” yang sebelum ini dianggap kurang waras kerana bercakap sendirian dalam hutan, berasa lega kerana dunia kembali tenteram daripada kerakusan para pemaju. Sedangkan spesies manusia lain yang muda dan berkemampuan telah berpindah ke planet Marikh. Adakah keadaan bumi akan kembali menghijau dan membahagiakan setelah yang tinggal hanya sekelompok manusia miskin dan tua?
Saya terkesan dengan dialog yang dilontarkan oleh Orkid: “Jika manusia serius ingin memulihkan bumi, mereka patutnya berusaha dan bekerjasama, tapi akhirnya, berpindah ke planet lain pula.” Dialog itu sungguh bernas nadanya. Bak kata peribahasa, habis madu, sepah dibuang. Ia suatu peringatan yang datang dari lubuk hati pengarang. Malangnya, sudah ditetapkan, manusia-manusia pada era moden, tidak mengerti rintihan makhluk-makhluk lain yang berbeza spesies. Masing-masing hidup dalam wilayah bertentangan. Disebabkan itu, pengarang sengaja mengangkat watak-watak bukan manusia sebagai medium untuk meluahkan keresahan dan kebencian mereka terhadap perangai dan keserakahan pihak pemaju dalam kalangan manusia.
Jika manusia tidak sanggup untuk betah di bumi dengan perubahan cuaca yang ekstrem, bagaimanakah dengan nasib mereka di planet Marikh? Betapa tidak bertanggungjawabnya spesies manusia. Setelah puas memusnahkan kawasan hijau, menyebabkan kejadian banjir dan mencairkan ais di Kutub Utara, mereka meninggalkan begitu sahaja bumi yang rosak dan bertoksik.
Namun, timbul suatu persoalan yang menakutkan. Bagaimanakah kalau mereka berpatah balik ke bumi dan melakukan aktiviti merosakkan alam semula jadi? Persoalan yang dibangkitkan pada bahagian akhir naskhah itu membentuk sebuah kunci kepada permasalahan di muka bumi. Mak Wo berasa sungguh terkilan mengenang sifat manusia. Tetapi dia tidak mempunyai apa-apa kelebihan, kuasa dan wang, kalau manusia dari planet Marikh singgah semula ke bumi dan berlagak seperti tidak pernah melakukan apa-apa sebelum ini.
Naskhah “Saat Bumi Berhari Raya” belum terjamin untuk merayakan detik kemenangan mereka. Alam fiksyen dan realiti sangat jauh berbeza. Spesies manusia yang aneh dan sukar diterka niat dalam fikiran mereka, menjadi musuh kepada makhluk-makhluk lain di muka bumi. Mereka hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Tanpa rasa berdosa, sebahagian spesies manusia lari ke planet lain tanpa merawat kembali kemusnahan yang dilakukan oleh tangan mereka pada alam semula jadi. Tiada kepastian bahawa spesies manusia tidak kembali lagi ke bumi. Jika itu berlaku, ke manakah lagi tempat penghuni-penghuni lain menyelamatkan diri? Mungkin Gunung Santubong masih wujud dalam keadaan asal untuk dijadikan tempat berlindung? Para pemaju yang tamak dan bersikap seperti mafia, akan menghapuskan apa-apa sahaja spesies lain yang cuba untuk melawan kehendak mereka.
Secara kesimpulan, naskhah karangan Abu Adil ini memang berniat baik. Kerja pertukangannya walaupun sederhana, tetap boleh difahami oleh sesiapa pun yang jeli pemikirannya. Mesej kemasyarakatannya positif dan bermanfaat untuk dijadikan renungan. Tema kemusnahan alam akibat daripada kerja pembalakan tanpa batasan, tetap akan ditulis oleh para pengarang sebagai bukti keterlibatan mereka dalam urusan kemanusiaan dan alam semua jadi. Sama ada berterus-terang atau disulami dengan imaginasi tertentu, teknik penceritaan berbentuk satira yang digunakan oleh pengarang bukanlah hal baharu dalam tradisi penulisan kebangsaan. Pendekatan sedemikian sudah semakin kerap dipraktikkan sebagai satu cara untuk mempelbagaikan corak penceritaan.
Peranan seorang pengarang ialah menyedarkan masyarakat akan peranan mereka sebagai spesies manusia yang sudah tentu lebih berakal daripada makhluk lain. Tetapi bumi bukanlah tempat utopia. Ada baik dan sudah tentu ada yang jelik. Maka, sebarang perkara yang dilakukan secara berlebih-lebihan, pasti sahaja mengundang malapetaka yang bakal menyusahkan pihak yang lain.