
SPAOH: Pembangunan infrastruktur kesihatan di Spaoh melangkah ke fasa penting dengan pelaksanaan Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan dan Hemodialisis Spaoh bernilai RM41.4 juta, yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.
Projek berskala besar itu merangkumi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 6, pusat hemodialisis baharu, serta kuarters kediaman kakitangan, hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.

Uggah dalam ucapannya berkata, kerja pembinaan dijangka bermula selewat-lewatnya hujung tahun ini, manakala kerja tanah bernilai RM800,000 akan dimulakan esok sebagai persediaan bagi struktur utama pada Disember 2025 dan Januari 2026.
Daripada jumlah keseluruhan kos, RM16.2 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk komponen klinik, manakala RM19.2 juta daripada dana BDDA digunakan bagi pembinaan kemudahan kuarters.
BDDA turut membiayai pembinaan Pusat Hemodialisis bernilai RM5.2 juta untuk memenuhi keperluan pesakit kronik di kawasan Spaoh dan sekitarnya.

Dibina di atas tapak seluas kira-kira empat hektar, projek ini dilaksanakan melalui tiga fasa iaitu fasa pertama, pembinaan klinik utama lengkap dengan blok radiologi, pergigian, rehabilitasi, stor farmasi serta kemudahan kuarters.
Fasa kedua, pembinaan kuarters kediaman kakitangan bagi menyokong operasi harian secara lebih tersusun, dan fasa ketiga, pembinaan pusat hemodialisis baharu yang dilengkapi 10 mesin rawatan.
Apabila siap sepenuhnya, projek ini dijangka meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan, mengurangkan kesesakan pesakit serta menyediakan persekitaran rawatan yang lebih moden dan selesa kepada penduduk Spaoh dan kawasan sekitarnya.
Ia juga diyakini menjadi pemangkin kesejahteraan jangka panjang serta menyokong pertambahan penduduk di wilayah berkenaan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Pemangku Residen Betong, Hamdan Katang, Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris, serta Pegawai Daerah Betong Laga Kueh.
Oleh Adi Safarman