SpaceX umum rancangan ‘pelabuhan angkasa’ bernilai AS$100 bilion di Louisiana

Facebook
WhatsApp
PAPAN tanda SpaceX dipamerkan di luar kemudahan Space Exploration Technologies Corp. di Hawthorne, California pada Mac 2026. Foto AFP

WASHINGTON, Amerika Syarikat: SpaceX milik Elon Musk pada Selasa mengumumkan rancangan untuk membina sebuah kemudahan bernilai AS$100 bilion di negeri Louisiana, selatan Amerika Syarikat, bagi melancarkan roket gergasi Starship yang sangat dinanti-nantikan dan kini sedang dibangunkan di Starbase milik syarikat itu di Texas.

“Pelabuhan angkasa di pesisir Teluk Louisiana yang membolehkan masa depan berbilang planet,” demikian dinyatakan di laman sesawang SpaceX.

Kemudahan baharu itu akan dibina di Vermilion Parish, kira-kira 185 kilometer (115 batu) di barat New Orleans.

“Kami komited untuk melabur sekurang-kurangnya AS$100 bilion dan mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan baharu di Starbase, Louisiana,” kata syarikat itu, dengan kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan.

SpaceX berkata pembangunan itu bukan sekadar melibatkan tapak pelancaran, sebaliknya merangkumi semua prasarana yang diperlukan untuk menyokong “ribuan penerbangan Starship setiap tahun”, dengan penerbangan pertama dijangka pada 2029.

Starship ialah roket gergasi milik syarikat itu yang masih dalam pembangunan dan dirancang untuk digunakan bagi misi ke Bulan dan Marikh.

“Starbase Louisiana akhirnya akan mempunyai lebih daripada sedozen menara pelancaran, yang membolehkan lebih 30 penerbangan Starship sehari dan menjadikannya tapak pelancaran terbesar di dunia!” tulis Musk di platform X yang turut dimilikinya.

Musk, individu terkaya di dunia, terkenal dengan janji-janji besar serta garis masa yang amat optimistik.

Agensi Pembangunan Ekonomi Louisiana berkata purata gaji pekerja di kemudahan itu akan 192 peratus lebih tinggi berbanding purata gaji semasa di rantau berkenaan.

SpaceX turut berkata pihaknya akan melaksanakan usaha besar-besaran untuk memelihara kawasan pesisir pantai dan melindungi hidupan liar tempatan.

Syarikat itu kini membangunkan roket Starship di sebuah kemudahan di Texas yang terletak berhampiran kawasan perlindungan, sekali gus mendapat tentangan daripada beberapa kumpulan alam sekitar.

Kajian Tinjauan Geologi Amerika Syarikat pada 2017 menganggarkan Louisiana mengalami kehilangan tanah lembap pesisir pantai yang lebih luas berbanding jumlah keseluruhan negeri-negeri lain di Amerika Syarikat yang bersebelahan.  – AFP