
CALIFORNIA: Roket Falcon 9 yang membawa sekitar 40 muatan, termasuk satelit eksoplanet Pandora NASA, dilancarkan oleh syarikat aeroangkasa SpaceX dari Pangkalan Tentera Angkasa Vandenberg California pada 11 Januari, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Sepanjang misi orbit selama setahun itu, Pandora seberat 716 paun (325 kilogram) tersebut akan mengkaji sekurang-kurangnya 20 eksoplanet (planet yang mengelilingi bintang selain matahari mengikut orbit) yang diketahui, menggunakan teleskop selebar 17 inci (45 sentimeter).
Misi berkenaan akan memfokuskan pada planet tersebut semasa ‘transit’, atau menyeberangi muka bintang yang menjadi hos planet berkenaan dari perspektif satelit.
Transit itu membolehkan ahli astronomi mencirikan eksoplanet, terutamanya atmosfera planet berkenaan.
Unsur dan molekul yang berbeza menyerap cahaya pada panjang gelombang tertentu, justeru mengkaji spektrum cahaya bintang yang telah melalui atmosfera boleh membawa kepada pendedahan maklumat baharu mengenai komposisi atmosfera.
“Pandora bertujuan menguraikan spektrum bintang dan planet dengan memantau kecerahan bintang hos eksoplanet dalam cahaya yang boleh dilihat sambil pada masa sama mengumpul data inframerah,” menurut pegawai NASA dalam huraian misi.
Pandora akan menumpukan pada planet dengan atmosfera yang mempunyai komposisi air atau hidrogen yang tinggi.- Bernama-WAM