KUCHING: Sarawak membenarkan pusat urut dan refleksologi dibuka semula namun tertakluk kepada prosedur standard operasi (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata SOP itu berkuat kuasa serta merta.
“Ini meliputi spa, pusat kecantikan, pusat urutan kaki dan refleksologi… sekarang anda boleh pergi berurut,” katanya pada sidang media JPBNS di sini semalam.
Menurutnya JPBNS turut meletakkan beberapa garis panduan SOP yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa semalam.
“SOP ini merangkumi sektor pelancongan perubatan yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan (MTAC), berkuatkuasa serta merta.
“Selain itu SOP bagi penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran, pameran pelancongan, perdagangan dan bazar serta karnival budaya dan seni oleh MTAC berkuat kuasa serta merta juga,” katanya.
Sementara itu, Uggah memberitahu kemasukan ke Sarawak dari luar negara pula, semua warganegara Malaysia dari luar negara (termasuk warga asing) akan dikuarantin 14 hari di destinasi terakhir mereka tiba di negeri ini.
Menurutnya terdapat kekeliruan mengenai syarat kemasukan ke Sarawak dari luar negara tiba di negeri ini.
“Sebelum ini JPBNS telah memutuskan untuk mereka mendapatkan ujian tiga hari sebelum berlepas dari negara mereka berlepas,“Ini tidak perlu lagi. Kerana apabila mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saringan akan dibuat menggunakan dua kaedah pertama, kit ujian rapid dan ujian PCR secara rawak.
“Jadi kita telah putuskan walaupun ujian telah dibuat dan didapati negatif di Kuala Lumpur, namun mereka masih perlu menjalankan ujian setiba di negeri ini,” jelasnya.
Manakala Uggah menjelaskan lagi untuk kemasukan ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, semua warganegara termasuk warga asing yang sudah berada di Malaysia akan diambil sampel secara rawak di pintu masuk utama negeri.
“Sekiranya keputusan negatif mereka akan dibenarkan balik dan menyambung baki kuarantin di rumah,” ujarnya sambil menasihatkan rakyat negeri ini supaya terus memainkan peranan bagi memutuskan rantaian Covid-19.
Oleh Diyana Samsuddin