
KOTA SAMARAHAN: Bermula daripada lambakan buah nanas yang tidak terjual, seorang usahawan tempatan, Hanisah Koleh, 47, dari Kampung Sungai Mata berjaya mengubah situasi tersebut menjadi peluang perniagaan melalui penghasilan sos cili nanas di bawah jenama D’Mata Enterprise.
Menurutnya, idea menghasilkan produk itu tercetus pada tahun 2019 apabila melihat banyak nanas tidak mendapat pembeli, sekali gus mendorong beliau menyertai kursus anjuran Lembaga Nanas Sarawak berkaitan pemprosesan nanas.
“Selepas mengikuti kursus tersebut, saya mula mencuba menghasilkan sos cili nanas di rumah dan memberikannya kepada keluarga serta rakan-rakan untuk dirasai. Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat positif,” katanya.

Mengulas keunikan produknya, Hanisah berkata sos cili nanas D’Mata menampilkan gabungan rasa manis dan pedas semula jadi hasil penggunaan nanas serta cili segar yang diproses terus dari ladang.
Katanya, produk berkenaan juga dijamin bersih serta telah mendapat pensijilan halal, sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan untuk mencubanya.
Dari segi sumber bahan mentah, beliau memanfaatkan hasil tanaman sendiri dan keluarga yang mengusahakan kebun nanas, selain memastikan hanya buah berkualiti tinggi digunakan dalam penghasilan produk.

Namun, Hanisah mengakui antara cabaran utama adalah memastikan bekalan nanas mencukupi sepanjang tahun bagi memenuhi permintaan, di samping mengekalkan kualiti produk apabila pengeluaran dilakukan dalam skala lebih besar.
“Dalam aspek pemasaran pula, persaingan dengan produk sedia ada memang mencabar, tetapi saya yakin sos cili nanas ini mempunyai kelebihan tersendiri,” ujarnya.
Walaupun berdepan cabaran, beliau bersyukur kerana sambutan pelanggan amat menggalakkan dengan ramai yang membuat pembelian berulang hasil kepuasan terhadap rasa dan kualiti produk.

Selain sos cili nanas, D’Mata Enterprise turut menawarkan produk lain seperti kordial asam jawa, jus nanas dan biskut bagi memenuhi citarasa pelanggan.
Mengulas perancangan masa depan, Hanisah berhasrat untuk memperluaskan pasaran ke seluruh Malaysia dan seterusnya menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau juga merancang memperkenalkan variasi baharu seperti sos cili nanas ekstra pedas serta sos perapan berasaskan nanas bagi memperkukuh lagi jenama D’Mata di pasaran.
Oleh Norman B