KUCHING: Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) telah menyusun senarai hasrat untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan seiring dengan pengumuman belanjawan baharu tahun 2021 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menurutnya, senarai cadangan ini akan sangat membantu dalam memastikan pembangunan industri kelapa sawit yang berterusan di Sarawak.
“Cadangan yang pertama adalah pengecualian had tujuh tahun bagi kerugian perniagaan yang tidak diserap bagi syarikat perladangan kelapa sawit yang beroperasi di Sarawak.
“Ini bagi membolehkan syarikat perladangan yang beroperasi di Sarawak kekal berdaya saing di pasaran global dan tidak mengalami kerugian yang kritikal kerana sektor minyak sawit mempunyai tempoh matang yang lebih lama daripada industri lain,” ujarnya lagi.
Selain itu, SOPPOA berkata mereka mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan insentif cukai hijau kepada perladangan bagi memenuhi syarat ketat syarat pelesenan MPOB & DOE.
Menerusi kenyataannya, SOPPOA turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan import bebas cukai bagi semua kategori mesin pertanian untuk kegunaan ladang.
Jelasnya, penyediaan mesin bebas cukai import adalah sangat penting bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangi keperluan tenaga kerja asing.
“Selain itu, cadangan keempat kami adalah memerlukan insentif cukai untuk pelaburan asing dan tempatan, untuk pelaburan hiliran dalam industri berkaitan minyak sawit di Sarawak.
“Insentif untuk menubuhkan produk tambah nilai hiliran dan aktiviti pemprosesan akan menarik minat pelabur asing, selain dapat mengurangkan kebergantungan pada eksport CPO dan PKO minyak mentah sahaja,” katanya lagi.
Dalam hal berkaitan, SOPPOA turut mencadangkan untuk menubuhkan Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC) di Sarawak bagi mendorong pelaburan dalam aktiviti hiliran yang lebih jauh yang berkaitan dengan industri minyak sawit di Sarawak.
Tambahnya lagi, penubuhan ini lebih baik dilakukan di kawasan Bintulu bagi memudahkan eksport produk yang bernilai tinggi.
Menurut SOPPOA lagi, cadangan keenam mereka adalah untuk Kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan Akademi Perladangan Kelapa Sawit di Sarawak yang disesuaikan dengan keperluan sektor perkebunan.
“Inisiatif ini dijangka dapat mengekalkan bekalan profesional dan juruteknik perladangan yang berterusan dan berkesinambungan bagi memenuhi permintaan industri yang sedang berkembang,” jelasnya lagi.
Di samping itu, SOPPOA melalui cadangan ketujuh mencadangkan MPOB untuk menubuhkan Unit Penyelidikan & Pembangunan dengan kemudahan makmal yang mencukupi di Sarawak.
Katanya, penubuhan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan khas industri, terutama untuk menangani bidang kritikal dari aspek produktiviti, kelestarian, kualiti dan keselamatan makanan industri.
“Cadangan kelapan kami adalah untuk Kerajaan mempertimbangkan kebolehcapaian jalan sambungan (feeder road) yang dihubungkan ke Lebuhraya Pan Borneo.
“Ini adalah keranan jalan sambungan ke jalan raya utama pada masa ini sangat memerlukan kerja-kerja baikpulih dengan kadar segera bagi meningkatkan hubungan dan mobiliti khususnya kenderaan berat,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, SOPPOA turut mencadangkan Kerajaan untuk memperuntukkan dana infrastruktur yang mencukupi untuk meningkatkan perhubungan teknologi di kawasan luar bandar, khususnya kawasan penempatan kebanyakan ladang dan kilang.
Jelasnya, usaha meningkatkan kecekapan kerja terhadap penerapan teknologi terkini tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya tiada penyambungan dilakukan.
Sementara itu, akibat khuatir akan tahap keselamatan ketika berhadapan Covid-19 sekarang ini, SOPPOA melalui cadangan terakhirnya meminta Kerajaan untuk menyediakan peruntukan khas bagi pencegahan Covid-19.
“Ini adalah selaras dengan keperluan mengubah budaya kerja di perkebunan ke arah norma baharu bagi memastikan ladang atau kilang bebas dari penularan wabak tersebut serta perniagaan dapat diteruskan dengan mampan,” tegasnya lagi.
Oleh Akmal Adib Yusup