
MIRI: Sarawak Oil Palms (SOP) meraikan pengamal media sebagai tanda penghargaan atas sokongan, liputan serta kerjasama erat dalam menyampaikan maklumat berkaitan industri dan inisiatif syarikat kepada masyarakat.
Ketua Perkhidmatan dan Sokongan SOP, Joseph Ling berkata, peranan media amat penting sebagai penghubung antara industri dan orang ramai, khususnya dalam memastikan maklumat yang tepat dan berfakta dapat disampaikan secara berkesan.
“Kerjasama yang terjalin ini amat kami hargai kerana ia membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap realiti industri serta usaha yang dijalankan di lapangan. SOP berharap hubungan ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis penghargaan media yang diadakan di sini semalam.
Program yang berlangsung dalam suasana santai itu turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara SOP dan pengamal media tempatan, di samping memberi ruang kepada semua pihak untuk berehat dan menikmati masa berkualiti bersama.
Selain jamuan makan malam, para tetamu turut diserikan dengan perlawanan boling persahabatan serta pelbagai aktiviti santai yang mencerminkan semangat kebersamaan dan kerjasama berterusan.
Oleh Liong Chai Ling